Isu lewat bayar gaji: Pengarah projek binaan warga Korea cedera dipukul pekerja

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 36 Second

KOTA KINABALU: Seorang pengarah projek pembinaan sebuah syarikat swasta cedera dipukul oleh sekumpulan pekerja binaan di sebuah tapak pembinaan di daerah Kota Kinabalu berpunca tidak berpuas hati berkenaan isu kelewatan pembayaran gaji pekerja.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihak polis telah mengesan empat rakaman video yang tular melalui aplikasi whatsapp semalam (15 April) memaparkan sekumpulan pekerja binaan di sebuah tapak pembinaan di daerah Kota Kinabalu yang menyuarakan rasa tidak puas hati berkenaan isu kelewatan pembayaran gaji sehingga bertindak memukul mangsa yang merupakan pengarah projek pembinaan
sebuah syarikat swasta yang menguruskan projek pembinaan tersebut.

Katanya, keempat-empat video tersebut.masing-masing berdurasi 2 minit 47 saat, 27 saat, 2 minit 3 saat dan 30 saat.

Menurut Mohd Zaidi, pengadu yang juga mangsa seorang lelaki warganegara Korea berumur 53 tahun telah membuat laporan polis pada jam 12.40 pagi tadi (16 April) berhubung kejadian yang berlaku di sebuah tapak pembinaan di daerah Kota Kinabalu.

“Akibat dari kejadian tersebut, mangsa telah mengalami kecederaan lebam dan bengkak di beberapa anggota badan dan telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

“Pihak Polis Daerah Kota Kinabalu telah menjalankan siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan telah menahan dua orang suspek yang terlibat dalam kejadian ini.

“Kini polis sedang giat mengesan dua lagi rakan sejenayah suspek yang turut terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohd Zaidi berkata, hasil siasatan mendapati, punca berlakunya kejadian merusuh tersebut
adalah disebabkan ke empat-empat suspek serta lain-lain pekerja tidak berpuas hati disebabkan kelewatan pembayaran gaji oleh pihak syarikat.

“Justeru, pihak polis ingin menasihati orang awam orang yang mempunyai sebarang pertikaian supaya menyelesaikannya mengikut saluran undang-undang yang sedia ada dan tidak sekali-kali menggunakan sebarang kekerasan yang boleh membawa kepada implikasi undang-undang.

“Pihak polis juga berharap tiada mana-
mana pihak membuat spekulasi berkaitan kejadian ini yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam dan sebagainya,” tegasnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *