HomeUtamaJangan alpa aspek keselamatan, kesihatan dimusim perayaan - Tun Juhar

Jangan alpa aspek keselamatan, kesihatan dimusim perayaan – Tun Juhar

Read Time:2 Minute, 6 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Rakyat di negeri ini diingatkan agar tidak terlalu alpa kepada aspek keselamatan dan kesihatan khususnya dalam meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin berkata, aspek keselamatan diri dan keluarga perlu diberi perhatian yang sewajarnya sama ada di dalam mahupun di luar rumah.

“Apa juga perbuatan atau perkara yang berpotensi mengundang musibah hendaklah dihindari.  Ini termasuklah ketika berada di jalan raya yang merupakan antara lokasi sering berlakunya kemalangan.

“Berhati-hati dan berhemahlah semasa memandu di jalan raya dengan mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah dikuatkuasakan,” katanya.

Tun Juhar berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Khas Hari Raya Aidilfitri 1444H/2023M.

Beliau turut mengajak umat Islam di negeri ini agar melakukan amal kebajikan dengan menyantuni golongan yang kurang bernasib baik dalam masyarakat.

“Hendaklah kita manfaatkan hari dan bulan yang mulia ini untuk menyantuni golongan fakir miskin, anak-anak yatim, mangsa-mangsa musibah dan sebagainya.

“Ingatlah, dalam rezeki kita ada rezeki orang lain, maka ringankanlah tangan untuk berinfak, bersedekah dan menghulurkan apa juga jenis bantuan yang terdaya bagi menceriakan kehidupan mereka yang serba kekurangan di hari-hari kebesaran seperti Hari Raya Aidilfitri ini,” katanya.

Dalam perutusannya, Tun Juhar juga menyeru umat Islam agar merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Illahi Rabbi kerana berkesempatan sekali lagi menyambut dan merayakan Aidilfitri bersama-sama rakan, jiran serta kenalan yang bukan beragama Islam.

“Rasa kesyukuran ini kita zahirkan melalui penganjuran majlis rumah terbuka dan melakukan amalan ziarah menziarahi sambil saling maaf bermaafan antara saudara-mara, jiran tetangga dan sahabat-handai termasuk yang bukan beragama Islam.

“Amalan yang sudah menjadi tradisi dalam masyarakat perlulah dipelihara dan disuburkan bagi mempereratkan lagi tali silaturahim sekali gus mengukuhkan lagi keharmonian dan perpaduan di negeri ini,” katanya.

Di hari lebaran yang mulia ini, beliau menggesa rakyat agar bersama-sama menghargai jasa dan pengorbanan  pasukan beruniform yang sentiasa bersiap siaga memelihara keselamatan dan kemaslahatan rakyat.

“Marilah kita bersama-sama merafakkan doa memohon ke hadrat Allah SWT agar mereka sentiasa berada dalam naungan rahmat dan hidayah-Nya sepanjang menjalankan tugas dan kewajipan membela agama, bangsa dan negara,” katanya.

Mengakhiri perutusannya, Tun Juhar dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni mendoakan agar Aidilfitri ini lebih bermakna dan meriah seterusnya berupaya mengukuhkan lagi ukhuwah dan perpaduan masyarakat majmuk di Negeri Sabah khasnya dan Malaysia amnya.

“Saya serta seluruh keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh umat Islam khususnya dan rakyat jelata sekalian,” kata Tun Juhar.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerjasama SPSB, DPW menjadikan Sabah sebagai hab transhipment

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya