Pusat Alumni, UMS 4WDVC kongsi rezeki dengan pelajar UMS setiap Jumaat

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 14 Second

Kota Kinabalu : Sempena bulan Ramadan tahun 2023/1444H, Pusat Alumni dan Kelab Sukarelawan Pacuan Empat Roda Universiti Malaysia Sabah (UMS 4WDVC) bergabung tenaga menyediakan 300 hingga 350 pek juadah iftar setiap hari Jumaat sempena program Berkongsi Rezeki Ramadan.

Pek juadah iftar ini diagihkan secara percuma kepada para pelajar UMS yang berada di sekitar kampus.

Dalam program tersebut, kakitangan Pusat Alumni serta ahli-ahli UMS 4WDVC bergotong-royong memasak bagi menyediakan juadah bermula dari jam 2 petang sehingga waktu berbuka.

Pengarah Pusat Alumni, Dr. Arif Kamisan Pusiran berkata, program diadakan setiap hari Jumaat sepanjang bulan Ramadan dengan menyasarkan para pelajar UMS.

“Kami berharap dengan penganjuran program ini sedikit sebanyak dapat berkongsi rezeki selain membantu sebahagian pelajar mendapatkan juadah berbuka puasa secara percuma.

“Program julung kali ini membabitkan aktiviti menyediakan pek juadah berbuka, air dan kurma hasil sumbangan daripada alumni UMS serta syarikat swasta dan pihak penganjur bercadang untuk meneruskan program ini di masa hadapan ekoran sambutan yang memberangsangkan daripada para pelajar.

“Para pelajar juga menyambut baik inisiatif yang diadakan oleh pihak penganjur untuk menyediakan juadah berbuka secara percuma selain menjimatkan perbelanjaan pembelian juadah harian mereka,” katanya yang juga Pengarah Projek Berkongsi Rezeki Ramadan 2023.

Program tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Samasudin Hj.Yusop; Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Madya Dr. Raman Noordin, serta Presiden UMS 4WDVC, Prof. Dr. Shahril Yusof turut sama mengagih-agihkan pek juadah iftar Ramadan. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *