Rakyat Malaysia Di Sudan Dibawa Pulang Sebaik Keadaan Mengizinkan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 15 Second

KUALA LUMPUR — Proses membawa pulang 32 rakyat Malaysia yang terkandas di Sudan ke tanah air akan dilakukan sebaik keadaan mengizinkan, kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Bercakap pada sidang media berkaitan situasi di Sudan di sini hari ini, Zambry berkata semua rakyat Malaysia kini berada dalam keadaan selamat di tujuh lokaliti dan dibekalkan dengan bekalan makanan dan ubat-ubatan untuk tempoh dua minggu.

“Pada Mesyuarat Kabinet hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan agar usaha ini dilakukan sebaik keadaan mengizinkan.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika sidang medianya petang tadi

“Saya ingin tegaskan bahawa komitmen kerajaan untuk pastikan keselamatan rakyat Malaysia di Sudan adalah menjadi keutamaan,” katanya serta menambah pasukan petugas khas akan membawa keluar rakyat Malaysia sebaik sahaja berpeluang berbuat demikian.

Zambry berkata berdasarkan penilaian semasa, laluan keluar yang selamat adalah melalui udara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum, namun setakat ini, lapangan terbang itu masih belum beroperasi kerana ia menjadi sasaran pertempuran.

Pertempuran ganas meletus pada Sabtu (16 April) antara Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di Khartoum dan bandar-bandar lain, dengan kedua-dua pihak menuduh satu sama lain sehingga mencetuskan konflik.

Ketegangan antara kedua-dua pasukan tentera itu semakin memuncak sejak Rabu di wilayah Merowe di utara Sudan, selepas RSF membawa kenderaan tentera ke lokasi berhampiran pangkalan udara tentera di sana yang dianggap tidak sah oleh tentera.

Zambry berkata berdasarkan laporan terkini, 185 orang terkorban manakala lebih 2,000 orang dilapor mengalami kecederaan dan angka korban itu dikhuatiri semakin meningkat kerana kekangan akses ke medan pertempuran serta perkhidmatan kesihatan Sudan yang kini berada pada tahap minimum.

Berkongsi perkembangan terkini Kompleks Petronas di Sudan yang telah diambil secara paksa pada Isnin lepas, beliau berkata pihak SAF yang masih menduduki bangunan itu menjadikan aras bumbung di blok B sebagai pos pemantauan bagi memantau sebarang aktiviti yang boleh mengancam ibu pejabat SAF.

Menyifatkan situasi pergolakan di Sudan amat kompleks, Zambry berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Program Makanan Sedunia (WFP) telah menyatakan kebimbangan masing-masing terhadap situasi itu.

“WFP misalannya telah menghentikan operasi bantuan kemanusiaan mereka setelah tiga orang kakitangan mereka menjadi korban dalam pertempuran ini,” katanya.

Mengenai perkembangan di Tunisia susulan penahanan pemimpin utama Parti Ennahda, Rached Ghannouchi yang dilaporkan ditahan pihak berkuasa Tunisia pada Isnin lepas, Zambry berkata Wisma Putra mengikuti rapat perkembangan itu dan berharap negara berkenaan segera mencapai penyelesaian agar keadaan kembali stabil.

“Sebaik-baiknya mereka mengadakan penyelesaian di peringkat nasional dan mencapai kata sepakat bagi menghentikan keadaan yang tidak stabil di negara itu,” katanya.

Beliau berkata Malaysia tidak akan mencampuri urusan negara lain tetapi sekiranya sesebuah negara tidak aman, ia akan memberi kesan kepada masyarakat antarabangsa.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *