Christina nasihatkan pendaki lebih bersedia fizikal dan mental sebelum mendaki Gunung Kinabalu

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew menasihatkan para pendaki yang ingin mendaki Gunung Kinabalu supaya lebih bersedia secara fizikal dan mental sebelum melakukan aktiviti pendakian mereka.

Beliau berkata demikian susulan dua orang pendaki pasangan suami isteri yang mengalami sindrom akut gunung (AMS) di Panalaban, Gunung Kinabalu mengakibatkan suaminya meninggal dunia manakala isterinya dalam keadaan stabil dan telah sembuh dari AMS.

Terdahulu, Christina mengucapkan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa mendiang Alexander Kueh Check Boo, 45, yang disahkan meninggal dunia pada 4:30 pagi pada 25 April kelmarin, di Hospital Ranau.

Menurut Christina, Alexander dan isterinya sedang berusaha untuk mendaki puncak tertinggi Gunung Kinabalu.

“Pada 24 April 2023, mendiang bersama isteri, Ng Wee Peo, 35, berjaya sampai di Panalaban. Isterinya mengadu sakit kepala dan sesak nafas kira-kira jam 9 malam.

“Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) telah memberinya oksigen yang diperlukan untuk pertolongan cemas. Pada pukul 10 malam, Pasukan MOSAR memutuskan untuk mengusungnya ke Timpohon Gate dan kemudian membawa ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Namun, katanya, kira-kira jam 2 pagi pada 25 April 2023, dua kilometer dari Timpohon Gate, Alexander (suami) pula mengalami kesukaran bernafas dan kekejangan otot. Dia kemudiannya diusung ke Timpohon Gate.

“Operasi Menyelamat Gunung berakhir pada 3:40 pagi pada 25 April 2023, apabila kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Ranau dengan ambulans untuk rawatan lanjut namun suaminya disahkan meninggal dunia pada jam 4.30 pagi,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *