HomeUtamaKecacatan fizikal tidak halang Dr Sabrina laksana tanggungjawab dalam kerjaya

Kecacatan fizikal tidak halang Dr Sabrina laksana tanggungjawab dalam kerjaya

Read Time:4 Minute, 8 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Kecacatan fizikal tidak menghalang Dr Fatimah Sabrina Moahmmad menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Doktor Perubatan di Sektor Kesihatan Primer, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Beliau yang lebih mesra dipanggil Dr Sab @ Sabrina berusia 39 tahun berasal dari daerah Sandakan merupakan Penolong Pengarah Kanan, Sektor Primer, JKNS.

Dr Sabrina mendapat pendidikan dalam bidang kedoktoran di Management & Science University (MSU) Shah Alam dan kini dalam semester akhir pengajian di peringkat Sarjana di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan beliau berhasrat ingin melanjutkan pengajian Doctorate of Philosophy (PhD) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada hujung tahun ini.

Beliau juga merupakan Presiden Persatuan Mahasiswa Pascasiswazah UiTM (2022-2024).

Dr Sabrina sedang membuat pemeriksaan kesihatan salah seorang penduduk di Pensiangan. – Foto ihsan Dr Sabrina

Dr Sabrina berkecimpung dalam dunia kedoktoran sejak pertengahan tahun 2015, malangnya pada hujung tahun 2015 beliau mengalami lumpuh separuh badan (left hemiphlegia).

“Allah uji saya, saya lumpuh separuh badan (left hemiphlegia) pada hujung tahun 2015. Ketika itu, doktor menasihatkan saya untuk berehat sepenuhnya sekurang-kurangnya satu tahun, tetapi saya ni jenis tidak boleh duduk diam, saya suka keluar dan buat kerja amal atau bekerja.

“Saya mengambil keputusan untuk kembali bekerja setelah berehat selama enam bulan, tetapi cabaran adalah saya terpaksa bekerja keras berbanding sahabat junior doktor yang lain.

“Kami biasanya datang seawal 5 pagi tetapi saya terpaksa keluar ke tempat kerja awal (ketika itu bertugas di HUSM, Kelantan) kerana saya tidak dapat berjalan dengan baik seperti manusia normal di luar sana, saya bermula dengan kerusi roda, selepas itu walking frame dan walking sticks, sehinggalah sekarang saya berjalan menggunakan Ankle Foot Orthosis (AFO) kerana keadaan saya tidak akan menjadi normal sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi pemberita Sabah Media baru-baru ini.

Beliau akui dengan keadaan fizikal dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU) adalah cabaran paling besar untuknya namun demi tugas yang perlu digalas, Dr Sabrina berjaya menyahut cabaran bahawa insan OKU juga boleh melakukan yang terbaik.

“Cabaran menjadi Doktor OKU ini adalah cabaran terbesar saya tetapi bagi saya, Allah uji sebab Allah sayang maka dengan itu saya selalu ambil positif dengan apa yang terjadi dengan kehidupan saya kerana sekiranya bukan saya, siapa lagi,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai skop kerjayanya, Dr Sabrina berkata, kini beliau bertugas di Bahagian Kesihatan Awam (Public Health), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah seperti memantau dan memastikan kurangnya wabak penyakit berjangkit seperti wabak Covid-19 dan setakat ini beliau memegang lima portfolio yang lain.

Dr Sabrina laksana pemberian vaksin Covid-19 di Pulau Gaya. – Foto ihsan Dr Sabrina

“Saya bersama rakan-rakan yang lain akan menjalankan penyeliaan ke daerah-daerah di seluruh Sabah untuk memastikan program di bawah seliaan saya berjalan dengan baik.

“Selain itu, saya juga berkolaborasi dengan pihak-pihak tertentu dan berkepentingan dalam penghasilan polisi, modul-modul, garis panduan di bawah portfolio saya serta memantau penyakit yang menjejaskan kesihatan masyarakat, mendidik orang ramai mengenai isu kesihatan dan memperkasakan mereka dalam pencegahan penyakit agar tidak merebak,” katanya.

Dr Sabrina turut menjelaskan minatnya dalam bidang kerjayanya itu terutamanya beliau ingin mendekati komuniti secara menyeluruh dan berbakti kepada mereka.

“Saya memilih kerjaya ini kerana minat saya yang mendalam dalam bidang perubatan terutamanya bila bekerja di luar (outstation) dan turun padang, saya boleh mendekati komuniti dengan lebih menyeluruh (holistic approach), mendengar sendiri keluhan dan rintihan masyarakat, selain aktif membuat tanggungjawab sosial korporat (CSR), hujung minggu saya dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti CSR.

“Saya bersyukur kerana saya sebagai anak Sabah boleh berbakti semula (giving back) kepada rakyat Sabah semula walaupun saya adalah seorang OKU fizikal tetapi itu tidak mematahkan semangat saya untuk berkhidmat, kurang upaya adalah kebolehan yang perlu dimanfaatkan (disability is an ability), cari kelebihan disebalik kekurangan kita,” tegasnya.

Dr Sabrina bersama pasukan Kesihatan dan penduduk semasa lawatan pemeriksaan kesihatan di Pagalungan, Pensiangan. – Foto ihsan Dr Sabrina

Dr Sabrina juga merupakan salah seorang aktivis OKU dan juga aktif melakukan pemeriksaan kesihatan ke lapangan iaitu di kawasan luar bandar yang tidak ada kemudahan jalan raya yang baik dan terpaksa menggunakan kemudahan helikopter untuk memudahkan tugasan pasukannya.

“Saya juga kadangkala akan turun padang untuk Flying Doctor Service (FDS) di mana tugasan ini melibatkan saya untuk turun ke lapangan buat pemeriksaan kesihatan kepada penduduk kampung di kawasan-kawasan luar bandar yang sukar untuk dilalui ataupun penduduk sukar keluar untuk mendapatkan kemudahan pemeriksaan kesihatan disebabkan hubungan jalan raya yang terhad.

“Kawasan ini kebiasaanya hanya boleh dilalui melalui udara sahaja iaitu menggunakan khidmat helikopter bagi melancarkan aktiviti pasukan kami contohnya di Kg Longkogungon, Penampang, penduduk di sana terpaksa berjalan kaki selama tujuh jam untuk sampai ke pekan (tidak ada jalan darat atau kereta yang boleh sampai ke kampung tersebut) selain beberapa kawasan lagi termasuklah Kg Klangaan, Kg Buayan dan Pagalungan di Pensiangan,” jelasnya.

Kekerapan pasukan kesihatan untuk melawat kawasan dalam sebulan adalah sebanyak 30 jam membabitkan 14 kawasan mengikut keadaan cuaca sekiranya melalui jalan udara.

Tambah beliau, antara penyakit yang sering dihidapi penduduk seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, kolesterol.

“Pasukan kesihatan akan membawa bekalan ubat asas dan membuat pemeriksaan di dewan yang sedia ada di kawasan berkenaan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular