Cuaca Panas : Sekolah dibenar tutup jika suhu lebih 37 darjah celcius

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 57 Second

Kota Kinabalu : Pengurusan sekolah diberi kebenaran untuk menutup sekolah sekiranya cuaca panas yang melanda negara pada masa ini berada pada tahap amaran dua dengan suhu tertinggi melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Perkara itu dinyatakan menerusi garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kelmarin melalui surat siaran pekeliling ditandatangani Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Norisah Suhaili.

Selain sekolah, surat siaran berkuat kuasa serta-merta itu terpakai untuk semua institusi pendidikan di bawah KPM jika kawasan mereka diisytiharkan terkesan mengalami gelombang haba oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Semua aktiviti luar perlu dihentikan jika status suhu harian bagi cuaca panas berada pada tahap amaran pertama dengan suhu tertinggi melebihi 35 hingga 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut.

“Antara contoh aktiviti luar tidak sesuai dilaksanakan seperti merentas desa, perkhemahan, kawad, sukan dan permainan di luar bangunan serta pertanian,” katanya.

Pekeliling itu memaklumkan, penutupan institusi pendidikan akibat status suhu harian bagi cuaca panas hendaklah dimaklumkan pentadbir kepada pendaftar serta-merta secara lisan dan bertulis menggunakan apa medium yang sesuai.

Surat pemakluman itu hendaklah dilampirkan bersama dokumen sokongan yang menjelaskan tentang proses penilaian risiko dijalankan, sebelum keputusan menutup institusi pendidikan dibuat pentadbir.

Pentadbir juga hendaklah memaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga berkaitan penutupan atau pembukaan institusi pendidikan atas sebab status suhu harian dengan segera secara bertulis atau apa-apa medium komunikasi yang sesuai.

Selain itu, KPM berkata, ibu bapa juga dibenarkan membawa anak ke hospital atau balik ke rumah jika didapati tidak sihat ketika di sekolah.

Katanya, pentadbir juga perlu memastikan bilik mempunyai pengudaraan yang baik termasuk sentiasa memantau tahap kesihatan murid bagi mengelak sebarang risiko berkaitan strok haba berlaku serta penyakit lain.

“Garis panduan ini diharap dapat memastikan pengurusan penutupan institusi pendidikan dapat dilaksanakan secara teratur.

“Malah, dalam mempertimbang penutupan institusi pendidikan juga, aspek kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid mestilah menjadi keutamaan komuniti institusi pendidikan,” katanya.

Pekeliling sama turut memaklumkan, pentadbir juga perlu menetapkan tarikh hari ganti persekolahan dan memaklumkan tarikh terbabit kepada pendaftar.

Sebelum ini, KPM dalam kenyataan berasingan memaklumkan Institusi di bawah KPM diarah menghentikan aktiviti luar bilik darjah membabitkan murid sekiranya kawasan masing-masing mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.

Susulan itu juga, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan di bawah KPM diarah melaksanakan langkah pencegahan, selain memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas. 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *