Lelaki maut terkena renjatan elektrik di laluan pejalan kaki

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 34 Second

LABUAN: Seorang lelaki maut disyaki terkena renjatan elektrik di laluan pejalan kaki, Jalan Tanjung Purun dekat sini pada Khamis (4 Mei).

Ketua Polis Daerah Labuan Superintenden Ahmad Jawila berkata, pada Khamis (4 Mei) jam lebih kurang 12.05 pagi, pihak polis telah menerima maklumat daripada pengadu (abang mangsa) yang memaklumkan telah menjumpai adiknya sedang terbaring tidak sedarkan diri di laluan pejalan kaki, Jalan Tanjung Purun, W.P. Labuan disyaki terkena renjatan elektrik.

“Bertindak atas maklumat tersebut, pihak polis telah menghubungi Hospital Labuan, Sabah Electricity Sdn. Bhd (SESB) dan Perbadanan Labuan untuk tindakan lanjut.

“Pihak ambulan kemudian telah sampai di tempat kejadian dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam satu media kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad, pihak SESB dan Perbadanan Labuan kemudiannya bertindak pantas memutuskan bekalan elektrik di lokasi tersebut sebagai tindakan pencegahan dan
menyiasat punca kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati pengadu keluar berjalan kaki untuk mencari mangsa kerana tidak pulang ke rumah pada jam 11.30 malam setelah selesai bekerja di salah sebuah hotel di Labuan.

“Mangsa dikenali sebagai Ryandeigo Roselee berusia 18 tahun berasal dari Kampung Pauh Tulid, Sook, Keningau telah dijumpai oleh pengadu sedang terbaring di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Labuan untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian. Kes diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, pihak polis memaklumkan bahawa lokasi kejadian iaitu laluan pejalan kaki Jalan Tanjung Purun menuju ke bangunan Ujana Kewangan ditutup sementara waktu sehingga pihak polis mendapat pengesahan daripada agensi terlibat khususnya pihak SESB dan Perbadanan Labuan bahawa laluan tersebut selamat digunakan oleh orang ramai.

“Laluan alternatif bagi pejalan kaki yang dapat digunakan oleh orang ramai ialah Jalan Merdeka berhadapan dengan Padang Dataran Labuan.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika melalui kawasan yang terdapat bekalan/punca arus elektrik bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku khususnya pada musim hujan ketika ini di Labuan,” tegasnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *