HomeUtamaKerajaan terus mempertahan kedaulatan dan keselamatan negara - Khairul

Kerajaan terus mempertahan kedaulatan dan keselamatan negara – Khairul

Read Time:2 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan akan terus mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara daripada sebarang ancaman sama ada berbentuk serangan bersenjata atau yang mempergunakan tindakan perundangan atau komersil, kata Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud.

Katanya, usaha kerajaan ini akan dapat diperkuatkan dengan penglibatan pelbagai pihak khususnya pimpinan negeri Sabah.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini sempena program Sesi Libat Urus Mengenai Status Semasa Isu Tuntutan Pihak Mendakwa Waris Sultan Sulu Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah yang berlangsung di Hotel Pan Pacific Sutera di Kota Kinabalu hari ini.

Sesi libat urus dianjurkan oleh BHEUU Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri, Kementerian Komunikasi dan Digital, Jabatan Peguam Negara, Majlis Keselamatan Negara dan Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah serta agensi di bawah Kerajaan Negeri Sabah.

Program telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah BHEUU mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

Khairul berkata, Malaysia kini sedang bertindak untuk membatalkan Exequatur Order dan juga Final Award di Perancis, Belanda dan Luxembourg. Ini ialah tindakan mempertahankan kedaulatan dan keselamatan Malaysia.

“Pelbagai strategi telah dirangka dan kita juga telah mengenal pasti pihak yang membiayai Penuntut ini. Maklumat yang diterima menunjukkan ada kaitan dengan pihak-pihak di negara asing yang berhasrat untuk mengganggu gugat kestabilan Malaysia.

“YB Menteri dan YB Menteri Luar Negeri serta YB Menteri Komunikasi dan Digital telah melancarkan laman web malaysia-sulucase.gov.my bagi menyediakan fakta dan laporan yang tepat. Ini bertujuan menangkis laporan palsu atau laporan yang dipesongkan sehingga menjejaskan imej Malaysia,” katanya.

Beliau turut menjelaskan penerangan kepada rakyat sedang dilaksanakan khususnya di Sabah memandangkan kes ini paling mengesankan rakyat Sabah akibat pencerobohan di Lahad Datu yang didalangi penyokong-penyokong Penuntut sulu ini.

“Salah seorang Penuntut ialah dalang yang menyebabkan pencerobohan Lahad Datu, maka Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengklasifikasikan Fuad A. Kiram, yang merupakan salah seorang pengasas kumpulan pengganas Royal Sulu Force dan juga salah seorang Penuntut, sebagai pengganas di bawah Seksyen 66B AMLATFPUAA 2001 berkuat kuasa 6 April 2023 melalui P.U.(A) 112/ 2023.

“Mengambil maklum kebimbangan pimpinan dan rakyat Sabah bahawa mungkin terdapat pihak di Sabah yang menjadi tali barut kepada Penuntut dan kumpulan pengganas Royal Sulu Force, maka mengklasifikasikan Fuad A. Kiram itu akan menyebabkan sesiapa yang membantu atau bersubahat dengannya akan boleh dikenakan tindakan yang keras,” tegasnya.

Sehubungan dengan itu, Khairul berharap sesi libat urus pada hari ini diharapkan dapat memaklumkan status semasa kes tuntutan yang sedang berjalan di negara-negara di Eropah, malah memberikan peluang untuk mendapatkan input dan cadangan daripada pimpinan dan rakyat Sabah bagi memperkuatkan dan memperkasakan tindakan yang sedang dan bakal diambil terhadap Penuntut serta pembiaya mereka,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Utama

DBKK laksana pemeriksaan berjadual ke atas pokok dibawah seliaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular