HomeSukanUpacara perasmian Sukan SEA Kemboja 2023 gah, penuh meriah

Upacara perasmian Sukan SEA Kemboja 2023 gah, penuh meriah

Read Time:2 Minute, 22 Second

BERNAMA

Phnom Penh: Penantian 64 tahun Kemboja untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA berakhir dengan upacara perasmian temasya dwitahunan terbesar Asia Tenggara itu bertemakan ‘Sports: Live In Peace’ berlangsung dalam suasana yang cukup gah dan penuh meriah di sini malam tadi. 

Kemboja menyajikan persembahan serta pertunjukan bunga api yang memukau dan penuh warna-warni di Stadium Nasional Morodok Techo dibina khusus bagi penganjuran sukan berprestij itu seminggu selepas acara pertama iaitu kriket membuka tirai Sukan SEA 2023.

Ekstravaganza sukan yang berlangsung dari 5 hingga 17 Mei itu dimulakan dengan hitungan daripada 10 hingga satu selepas kira-kira 75,000 penonton dihiburkan dengan pelbagai persembahan penyanyi, penari dan artis terkenal Kemboja untuk menyerikan lagi detik bersejarah penganjuran sukan serantau itu.

Sejurus selepas itu, upacara diteruskan dengan perarakan membawa bendera Kemboja oleh 64 kanak-kanak sebagai simbolik penantian 64 tahun republik itu untuk menjadi tuan rumah edisi ke-32 Sukan SEA disusuli nyanyian lagu kebangsaan yang ‘menggegarkan’ stadium tersebut.

Penonton turut dihiburkan dengan beberapa Perarakan Kebangsaan Kemboja berkisarkan sejarah negara itu dalam pelbagai era yang berlangsung kira-kira sejam.

Mereka turut memberikan tepukan gemuruh kepada 11 negara yang mengambil bahagian semasa atlet dan pegawai berarak memasuki stadium itu mengikut abjad bermula dengan Brunei manakala Malaysia adalah yang kelima membuat kemunculan.

Kontinjen Malaysia diwakili delegasi seramai 42 orang termasuk pembawa Jalur Gemilang R. Sharmendran, Chef de Mission Datuk Mohd Nasir Ali serta dua timbalannya iaitu Datuk Shalin Zulkifli dan Sharon Wee selain skuad petanque negara.

Batik Malaysia dipilih sebagai pakaian rasmi perarakan itu kerana ia melambangkan identiti dan budaya negara.

Warna biru yang digayakan oleh atlet serta pegawai lelaki melambangkan keharmonian dalam arena sukan sebagai tanda kesediaan untuk turun ke gelanggang dengan semangat kesukanan yang tinggi manakala warna merah yang dipakai oleh atlet wanita pula menggambarkan keberanian serta semangat jitu dalam memburu kemenangan.

Perdana Menteri Kemboja Hun Sen kemudian mengisytiharkan pembukaan rasmi edisi ke-32 Sukan SEA sejurus bendera Persekutuan Sukan Asia Tenggara dinaikkan dan lafaz ikrar oleh wakil atlet serta pengadil pertandingan.

Ini diikuti dengan upacara menyalakan obor oleh pemenang pingat emas acara Taekwondo Sukan Asia di Incheon pada 2014 iaitu Sorn Seavmey disusuli pertunjukan bunga api yang menerangi langit malam Phnom Penh.

Sukan SEA bakal menjadi landasan para atlet negara untuk bertanding di Sukan Asia Hangzhou 2022 yang sebelum ini ditunda dan dijadualkan semula pada September 2023 sebelum meneruskan misi negara ke Paris 2024 untuk membawa pulang pingat emas pertama Sukan Olimpik.

Malaysia telah meletakkan sasaran 40 pingat emas, 37 perak dan 64 gangsa bagi memadam pencapaian negara pada edisi terdahulu sukan itu di Hanoi, Vietnam yang mengutip 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa.

Sejumlah 581 pingat emas daripada 37 sukan termasuk teqball akan dipertanding dalam temasya yang berlangsung di Phnom Penh serta empat wilayah lain iaitu Siem Reap, Sihanoukville, Kampot dan Kep dengan kira-kira 6,200 atlet mengambil bahagian.- BERNAMA

RELATED ARTICLES
Sukan

Kejohanan bola sepak medan cungkil bakat baharu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular