HomeUtamaAidilfitri bermakna bagi umat Islam dan bukan Islam berkongsi keceriaan

Aidilfitri bermakna bagi umat Islam dan bukan Islam berkongsi keceriaan

Read Time:1 Minute, 48 Second

SANDAKAN: Sambutan Aidilfitri amat bermakna kepada semua umat Islam mahupun bukan Islam kerana ia merupakan peluang untuk rakyat pelbagai etnik, agama dan budaya untuk sama-sama berkongsi keceriaan.

Timbalan Ketua Menteri Merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, melalui amalan seumpama ini, ia dapat menggambarkan semangat Malaysia Madani.

Pada masa yang sama, kata beliau, amalan mengadakan rumah terbuka untuk sambutan Hari Raya yang diamalkan dapat mengeratkan lagi hubungan sesama rakyat.

“Manfaatkan peluang ini untuk kunjung mengunjungi di antara satu sama lain sebagai tanda hormat menghormati dan saling bermaafan.

“Saya yakin amalan ini akan memberikan impak yang besar untuk keharmonian negara. Untuk menjadi sebuah organisasi yang terbilang, kunci utama ialah kerjasama secara berpasukan tidak kira pangkat, bangsa dan agama.

“Kerja berpasukan mempunyai banyak kelebihan kerana ia saling bergantung dari segi kepakaran, keupayaan, kemahiran dan bersedia melaksanakan tugasan secara bersama,” katanya.

Dr. Joachim berkata demikian sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Majlis Perbandaran Sandakan yang diadakan di Dewan Masyarakat Sandakan hari ini.

Sementara itu, kata beliau, Aidilfitri merupakan kesempatan untuk saling melupakan semua perselisihan dan persengketaan.

“Ambilah peluang ini untuk kita saling bermaafan dan mengukuhkan lagi persahabatan yang sedia terjalin.

“Adalah menjadi harapan saya dengan adanya majlis seperti ini, ia dapat mewujudkan satu semangat muhibah dan harmoni kepada semua warga Majlis Perbandaran Sandakan.

“Sebagai Pihak Berkuasa Tempatan dan pentadbir kepada daerah Sandakan, pihak Majlis mempunyai tanggungjawab yang besar bagi memastikan mutu perkhidmatan dan prasarana di daerah Sandakan ini sentiasa berada pada tahap yang terbaik,” kata beliau.

Justeru, Dr. Joachim menyarankan agar komitmen semua pihak diberikan bagi membantu mencapai matlamat yang telah ditetapkan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

“Syabas dan tahniah kepada pengurusan Majlis Perbandaran Sandakan dan juga Jawatankuasa Pelaksana Majlis ini iaitu Badan Kebajikan Islam Majlis Perbandaran Sandakan yang diketuai oleh Farizal Setoh, Timbalan Presiden II merangkap Pengerusi Badan Kebajikan Islam MPS atas kejayaan melaksanakan majlis jamuan Hari Raya ini yang sungguh bermakna dan meriah.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Pesta Menuai, Kotobian Tadau Tagayo Do Kaamatan,” tambahnya.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais dan Presiden MPS, Henry Idol serta seluruh kakitangan MPS.

RELATED ARTICLES
Utama

JENDELA : Capaian internet catat peningkatan bagi kawasan berpenduduk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular