Jangan terpedaya dengan tawaran harga murah pasang pendakap gigi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 39 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu: Masyarakat perlu perlu bijak dalam mengenali pengamal pergigian haram selain tidak terpedaya dengan tawaran harga murah bagi membuat pemasangan pendakap gigi atau ‘braces’.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, pemasangan pendakap gigi palsu tanpa pemeriksaan pergigian menyeluruh dan tiada rancangan rawatan yang komprehensif boleh menyebabkan pergerakan gigi yang drastik.

Katanya, ia akan menjadikan gigi goyang dan mudah tertanggal selain bahan dan peralatan yang digunakan tidak diketahui status keselamatan dan kebersihannya.

“Modus operandi mereka adalah seperti menawarkan harga yang murah dan lokasi rawatan yang tidak tetap seperti di rumah, hotel, homestay, rumah tumpangan, dan pusat kecantikan.

“Pengamal pergigian haram ini juga sukar dihubungi atau dijejaki apabila terjadi sebarang komplikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas merasmikan Sambutan ‘World Orthodontic Health Day’ Peringkat Negeri Sabah Tahun 2023 dengan tema ‘Be Wise, Be Smart, Choose Safe Braces’ di sini hari ini.

Dr Rose Nani berkata, pada tahun lalu, sebanyak 97 kes aduan berkaitan pengamal pergigian haram diterima di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Rose Nani Mudin

Katanya, sebanyak 64 peratus atau 62 kes adalah aduan berkaitan pendakap gigi yang palsu,  22 peratus atau 23 kes merupakan aduan berkaitan veneer pergigian dan 13 peratus adalah lain-lain kes perkhidmatan.

Menurutnya ia termasuklah pembuatan gigi palsu, cabutan dan lain-lain perkhidmatan.

“Bagi negeri Sabah, pada tahun lalu, sejumlah dua kes berkaitan pengamalan haram telah diterima iaitu satu kes fake braces dan satu kes fake veneers,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Rose Nani berkata, JKNS mengingatkan orang ramai untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan ortodontik dari pengamal pergigian yang sah dan bertauliah di fasiliti-fasiliti yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, semakan status kelayakan pengamal pergigian boleh dilakukan melalui laman sesawang Dental Practitioners’ Information Management System (http://dpims.moh.gov.my/).

“Manakala semakan klinik pergigian yang berdaftar boleh dibuat dengan menghubungi Unit Penguatkuasaan Pergigian, Bahagian Kesihatan Pergigian Negeri Sabah. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *