Koperasi sektor pertanian sumbang RM1.58 bilion pada 2022

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 57 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kuching : Sebanyak 3,451 koperasi yang terlibat dalam sektor pertanian di seluruh negara merekodkan sumbangan perolehan sebanyak RM1.58 bilion pada tahun 2022.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, penglibatan koperasi dalam bidang pertanian membuktikan koperasi bukan sahaja menyumbang kepada sumber pendapatan negara, malah membantu memenuhi sumber bekalan dan keperluan makanan rakyat negara ini.

“Ia sekaligus membantu mengelak berlakunya krisis harga dan kekurangan bekalan makanan dengan jumlah penduduk Malaysia yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Penutupan Seminar Pemerkasaan Ekonomi Koperasi Negeri Sarawak Dalam Sektor Pertanian dan Industri Asas Tani 2023, di Imperial Hotel, di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Umar Sarim Saidin, Pengarah SKM Negeri Sarawak Liew Liuk Chim, ketua-ketua agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan anggota-anggota koperasi.

Ewon berkata, secara keseluruhannya sebanyak 15,315 buah koperasi didaftarkan di seluruh negara sehingga 31 Disember 2022 dengan jumlah keanggotaan seramai 7.31 juta orang dan modal syer/yuran terkumpul berjumlah RM16.99 bilion.

Katanya, ini menunjukkan koperasi mampu mewujudkan satu rangkaian perniagaan yang kukuh dan mampan.

“Ia diperkukuhkan lagi dengan rekod kedudukan aset secara keseluruhan gerakan koperasi sebanyak RM159.6 bilion. Sumbangan perolehan koperasi juga memberangsangkan pada tahun lalu iaitu melebihi RM45.50 bilion,” katanya.

Ewon berkata, bagi negeri Sarawak pula, sehingga 31 Disember 2022 sebanyak 1,159 buah koperasi didaftarkan dengan jumlah anggota seramai 310,178 orang dan jumlah syer/yuran terkumpul sebanyak RM223.90 juta.

“Jumlah aset terkumpul berjumlah RM647.45 juta manakala sumbangan perolehan oleh gerakan koperasi negeri Sarawak pada tahun lalu berjumlah RM392.84 juta.

“Daripada jumlah keseluruhan koperasi di Sarawak sebanyak 285 koperasi terlibat dibawah fungsi pertanian dengan keanggotaan seramai 18,341 orang dan jumlah syer/yuran terkumpul sebanyak RM11.82 juta. Manakala jumlah aset terkumpul berjumlah RM58 juta.

“Sumbangan perolehan sebanyak RM173 juta yang merupakan penyumbang terbesar kepada perolehan gerakan koperasi negeri Sarawak,” katanya.

Ewon yakin gerakan koperasi di seluruh Malaysia akan terus menjadi tonggak penting bagi memakmurkan ekonomi negara dan memperkukuhkan kesejahteraan rakyat.

Katanya lagi, bagi meningkatkan peranan gerakan koperasi di Sarawak, koperasi-koperasi boleh mengambil peranan penting dalam menwujudkan rantaian nilai perniagaan berimpak tinggi.

“Saya juga menyeru seluruh koperasi yang berpotensi di Sarawak untuk menggarap peluang melibatkan diri dalam aktiviti perladangan, pertanian dan makanan,” katanya. – SABAH MEDIA.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *