HomeUtamaRUU Antilompat Parti tiada dalam agenda sidang DUN Sabah - Speaker

RUU Antilompat Parti tiada dalam agenda sidang DUN Sabah – Speaker

Read Time:1 Minute, 14 Second

BERNAMA
Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu:  Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti setakat ini tidak tersenarai dalam agenda Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang dijadual berlangsung pada 22 hingga 25 Mei ini.

Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M Yahya berkata, pihaknya setakat ini masih belum dimaklumkan oleh kerajaan negeri sama ada RUU itu akan dibentangkan atau tidak pada sidang kali ini.

“Setakat ini kami belum dimaklumkan. Namun, jika kerajaan bersedia untuk membentangkannya, kami akan lakukan.

“Manalah tahu mungkin esok (kerajaan negeri) putuskan kerana mereka akan adakan mesyuarat Kabinet,” katanya dalam sidang media sempena Istiadat Pembukaan dan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Sabah Ke-16, di sini semalam.

Kadzim berkata RUU Antilompat Parti itu memerlukan masa panjang untuk dibahaskan kerana ia akan menarik penglibatan ramai pembahas dalam kalangan ahli DUN.

Justeru, katanya satu sidang DUN Khas kemungkinan diadakan sekiranya RUU itu tidak sempat dibentang dan dibahaskan pada sidang kali ini.

Sementara itu, Kadzim berkata pihaknya ada menerima RUU Persendirian mengenai Antilompat Parti untuk dibentangkan dan telah menyerahkannya kepada kerajaan negeri untuk diteliti.

Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dijadual merasmikan persidangan itu Isnin ini yang bakal menyaksikan pembentangan tiga RUU.

April lepas, Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata parti itu akan memfailkan RUU Persendirian mengenai Antilompat Parti pada sidang DUN akan datang.

Mohd Shafie dilapor berkata langkah itu diperlukan dan dibenarkan dalam persidangan negeri serta undang-undang negeri membenarkan pembentangan RUU seiring dengan kerajaan Persekutuan untuk mengelakkan ketidakstabilan. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Jual paku simen 20 sen sebatang, peniaga warga asing terima notis...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular