HomeIsu tempatan32.3 tan berjaya dikutip, dilupuskan menerusi KK Cleanup Day : Pulau Gaya

32.3 tan berjaya dikutip, dilupuskan menerusi KK Cleanup Day : Pulau Gaya

Read Time:1 Minute, 40 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Sebanyak 32.3 tan sampah di Kampung Lok Urai dan Kampung Kasuapan Pulau Gaya di sini berjaya dikutip dan dilupuskan menerusi program KK Cleanup Day : Pulau Gaya baru-baru ini.

Program yang diadakan selama tiga hari bermula 10 Mei lalu itu telah dianjurkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sebagai salah satu program kesedaran awam dengan matlamat untuk mewujudkan kesedaran sosial di kalangan penduduk khususnya di Pulau Gaya.

Ketua Pengarah DBKK Junainah Abbie berkata, program itu merupakan siri kedua bagi tahun ini dan merupakan kesinambungan dari siri KK Cleanup Pulau Gaya pada November 2022 yang lalu.

Katanya, semua penduduk di kawasan Kampung Lok Urai dengan anggaran 7,353 orang dan Kampung Kasuapan dengan anggaran 2,700 orang telah menyertai program ini.

“Mereka juga turut diminta untuk mengadakan aktiviti pembersihan di kawasan masing-masing sebelum dan semasa program dilaksanakan. Secara keseluruhan, seramai 10,233 orang telah menyertai program ini.

“Masyarakat bandaraya Kota Kinabalu adalah diseru agar sentiasa bertanggungjawab untuk melupuskan sampah yang telah dihasilkan sendiri dengan cara dan saluran yang betul serta memberikan sokongan dan kerjasama untuk meningkatkan lagi tahap kebersihan kawasan tempat tinggal masing-masing.

“Kebersihan adalah perkara asas yang peri pentingnya dapat mengelakkan masalah kesihatan kelak. Penduduk boleh membantu menghebahkan usaha dan mesej kebersihan yang dibuat di laman media sosial masing-masing dengan menggunakan #kkcleanupday,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Dalam pada itu, Junainah berkata, kaedah pelaksanaan program adalah dengan meminta semua penduduk mula membersihkan sekitar kawasan rumah dan kawasan awam kampung.

Katanya, jenis sampah yang dibenarkan ialah semua jenis sampah domestik kecuali bahan kayu atau batuan.

“Penduduk kampung juga dibenarkan untuk melupuskan semua sisa pukal sepanjang tempoh program.

“Sepanjang tiga hari tempoh program berlangsung, penduduk telah melupuskan sampah ke dalam bot yang disediakan khas di enam buah jeti yang telah dikenalpasti iaitu di jeti Blok Selangan, Blok Ubian, Blok Simalak, Blok Lok Baru bagi Kampung Lok Urai dan di jeti Blok Kasuapan A serta Blok Kasuapan B bagi Kampung Kasuapan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

QSB terima kunjungan hormat delegasi Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular