Tabiat membaca perlu dipupuk dalam kalangan generasi baharu

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 59 Second

Penampang : Penerapan budaya membaca dikalangan masyarakat tanpa mengira perbezaan usia akan dapat memastikan kemapanan tabiat membaca dan penerusan budaya ilmu dalam kalangan generasi yang berikutnya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, individu yang berpengetahuan ini diharap akan dapat menjadi asas kepada masyarakat selain memanfaatkan ilmu dalam aktiviti harian serta pekerjaan masing-masing.

“Melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, ia juga menekankan kepentingan membaca sejak kecil. 

“Antaranya ialah Program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) yang diperkenalkan pada Ogos 2009.

“Melalui Program LINUS kebanyakan murid tahun satu hingga tahun tiga tidak lagi mempunyai masalah untuk menguasai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jom Baca Bersama 10 minit di Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) cawangan Penampang di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Zainuddin Aman dan Pengarah PNS Fatimah Abdillah.

Arifin berkata, program Nadi llmu Amalan Membaca (NIL-AM) yang dilaksanakan pada 22 Mei 1998 juga merupakan satu usaha Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang bermatlamat bagi membina tabiat membaca di kalangan murid.

Katanya, pelaksanaan program ini meliputi penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun dan markah dikumpulkan secara kumulatif sehinggalah mereka tamat persekolahan.

“Sebagai seorang pelajar, kemahiran literasi maklumat adalah penting. Kemahiran ini membolehkan pencarian maklumat yang tepat dalam apa-apa format dan menggunakan maklumat tersebut secara aktif.

“Pelajar yang membaca dapat memilih maklumat yang tepat untuk pembangunan kemajuan mereka. Justeru itu, rebutlah peluang untuk mendapatkan bahan bacaan melalui perkhidmatan perpustakaan, ianya percuma dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat,”katanya.

Dalam pada itu, Arifin berkata, penganjuran Program Jom Baca Bersama 10 Minit yang berlangsung serentak di seluruh negara merupakan satu usaha untuk menjadikan membaca sebagai budaya dikalangan masyarakat.

Katanya, melalui program ini juga, perpustakaan mampu berperanan sebagai sebuah organisasi yang relevan dalam pendidikan dan pembelajaran meskipun selepas waktu persekolahan.

“Secara tidak langsung program ini berupaya meningkatkan kualiti pembelajaran dan memaksimumkan keberhasilan murid.

“Saya juga difahamkan jumlah keseluruhan penyertaan Program Jom Baca Bersama 10 Minit peringkat negeri Sabah tahun 2016 hingga 2022 menunjukkan satu peningkatan.

“Penyertaan pada tahun 2016 berjumlah 101 , 126 dan penyertaan pada tahun 2022 berjumlah 449,631,”katanya.

Pada majlis itu, Arifin turut menyerahkan sebanyak 22 buah buku karya beliau kepada PNS untuk simpanan dan bacaan pengunjung.

Beliau telah menghasilkan sebanyak 34 buah buku dalam agama, sastera, bahasa dan antologi puisi.SABAH MEDIA.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *