HomeUtamaCatuan bekalan elektrik sehingga Julai, elak kerosakan serius berlaku

Catuan bekalan elektrik sehingga Julai, elak kerosakan serius berlaku

Read Time:2 Minute, 56 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kini sedang melakukan load shedding ataupun catuan bekalan elektrik di beberapa kawasan di Sabah sehingga Julai ini untuk memastikan kestabilan bekalan terkawal bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku kerana permintaan sangat tinggi dari pengguna pada ketika ini, kata Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ir Shahelmey Yahya.

“Untuk makluman pengguna di luar sana, saya mendengar taklimat dari pihak SESB tadi, load shedding (catuan bekalan) ini akan dilakukan sehingga bulan Julai tahun ini, jadi kita berpesan kepada pengguna di luar sana untuk bersabar.

“Namun apabila kita katakan load shedding (catuan) ini bukan blackout di seluruh kawasan tetapi ianya bertujuan untuk memastikan bahawa kawalan bekalan kuasa digridkan oleh SESB itu akan terkawal agar kita dapat mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini,” jelasnya.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata, beliau difahamkan pihak SESB melaksanakan catuan bekalan adalah kerana permintaan ataupun penggunaaan kuasa elektrik agak tinggi disebabkan keadaan cuaca panas sejak kebelakangan ini.

“Justeru, dalam keadaan cuaca panas sekarang, ramai pengguna menggunakan penghawa dingin di rumah masing-masing maka bekalan elektrik itu telah meningkat dan ini telah menyebabkan pihak SESB perlu melakukan load shedding atau catuan untuk mengawal kestabilan sistem grid di negeri Sabah ini,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Agihan Bekalan Elektrik Sabah (SLDC), Jalan Bundusan Penampang hari ini.

Dalam lawatan itu, Shahelmey diberi taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif SESB. Ir.Ts. Mohd Yaakob Jaafar mengenai status bekalan elektrik semasa di Sabah dan W.P Labuan serta punca berlakunya gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Shahelmey turut diberitahu bahawa dalam masa sama juga pihak SESB mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk menambah jumlah bekalan elektrik di negeri Sabah. Namun demikian, katanya, ada sedikit kelewatan dari sudut pelaksanaan.

“Antaranya stesen janakuasa di Kimanis yang baharu dianugerahkan kepada Ranhill Berhad , ia akan menyediakan sebanyak 100 megawatt (MW) ke dalam sistem di Sabah manakala satu lagi keperluan 100MW lagi yang belum lagi dimuktamadkan jadi kita mintalah Suruhanjaya Tenaga di Persekutuan untuk mempercepatkan proses tersebut kerana ini mempengaruhi pertumbuhan ekonomi di Sabah.

“Oleh itu, saya merayu kepada pihak-pihak yang terlibat dalam pelaksanaan projek-projek bekalan janakuasa elektrik di negeri Sabah ini agar memberi perhatian yang serius dan cepat supaya ianya boleh dilaksanakan .

“Ini penting kerana bukan sahaja pengguna di negeri Sabah tetapi ianya mempengaruhi pertumbuhan ekonomi di negeri Sabah,” tegasnya.

Menurutnya, sekiranya bekalan elektrik ataupun janaan elektrik ini tidak dapat ditambah dalam tempoh yang terdekat maka ianya akan membantutkan usaha kita untuk menarik pelabur-pelabur membangunkan industri yang ada di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB. Ir.Ts. Mohd Yaakob Jaafar semasa sidang media di SLDC, Jalan Bundusan, Penampang.

Sementara itu, Mohd Yaakob dalam satu sidang media hari ini berkata, beliau menjelaskan bahawa catuan bekalan dilakukan kerana pihak SESB tidak mahu berlakunya total blackout ataupun terputus keseluruhan bekalan elektrik.

“Kita faham juga ada rumah-rumah, resident, industri yang terkesan daripada catuan ini, tetapi dari segi kaca mata perspektif SESB dan juga kerajaan dalam industri elektrik ini perkara utama kita tidak mahu ada total blackout.

“Jadi peranan grid system operator iaitu kakitangan SESB yang bertugas di Pusat Agihan Bekalan Elektrik Sabah (SLDC) ini bertanggungjawab membuat pemantuan 24 jam setiap hari memastikan kestabilan bekalan elektrik di negeri Sabah.

“Jadi kenapa berlaku catuan kerana kita tidak mahu grid system ini tidak stabil dan akan menyebabkan total blackout.

“Alhamdulillah setakat ini, kita berjaya dan kita akan tetap pastikan sistem stabil, itu yang paling penting objektif kami untuk mengekalkan kestabilan grid bekalan elektrik,” jelasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Hajiji terima kunjungan hormat Penasihat Komuniti Puisi Esei Asean Denny JA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya