Peranan PDK perlu terus dihebahkan kepada masyarakat

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 46 Second

Ranau: Peranan program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) perlu terus dihebahkan kepada masyarakat khususnya ibu bapa yang mempunyai anak kurang upaya atau berkeperluan khas supaya fungsi pusat itu lebih difahami.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berkata, golongan istimewa tidak wajar dikecualikan daripada hidup bermasyarakat.

Katanya, ini kerana telah terbukti menerusi kelas PDK ianya mampu memberi bimbingan berkesan kepada mereka.

“Kewujudan PDK  khususnya di daerah Ranau harus dihargai  dan disyukuri  oleh masyarakat di sini khususnya ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas.

“Ini kerana anak-anak istimewa  tersebut akan dibekalkan program pemulihan dan pendedahan dengan dunia luar demi membina keyakinan mereka.

“Selain pembelajaran, terdapat juga insentif lain turut diterima seperti bantuan kerajaan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dan juga  dari badan-badan bukan kerajaan NGO, “katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Raya  Aidifitri dan Pesta Kaamatan Peringkat Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Daerah Ranau 2023 di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat Walter Kenson.

James berkata, peranan ibu bapa juga amat penting dalam memastikan perkembangan positif anak-anak selain penjaga juga perlu menggalas  tanggungjawab besar dalam menentukan hala tuju masa depan  mereka tanpa mengharapkan bantuan luar semata-mata.

Justeru itu katanya, kerjasama antara ibu bapa yang mempunyai anak-anak  istimewa dengan PPDK adalah amat penting ke arah mencapai  objektif atau aspirasi penubuhan PDK.

“Untuk PPDK Ranau, saya difahamkan oleh Pegawai JPKAS di daerah ini, PPDK di sini sentiasa menerima Bantuan Kerajaan menerusi JPKAS pada setiap tahun berdasarkan permohonan yang diterima. 

“Bantuan tersebut disalurkan bagi tujuan pentadbiran (bayaran bil utiliti), bayaran elaun penyelia, elaun petugas  dan elaun pelatih. Bagaimanapun jumlah  bantuan adalah berbeza bagi setiap PPDK  bergantung kepada permohonan yang dibuat,” katanya.

Sehubungan itu katanya, James meminta ahli-ahli jawatankuasa PDK supaya bijak mencari alternatif menganjurkan pelbagai program  supaya PDK lebih dikenali fungsinya oleh  masyarakat sesuai dengan peranannya sebagai  sebuah pusat untuk insan istimewa yang memberi latihan dan bimbingan dari segi pengurusan diri dan kemahiran seperti sosial dan vokasional. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *