HomeIsu tempatanKelab pelajar perubatan UMS anjur program kesedaran One Health, penyakit zoonotik di...

Kelab pelajar perubatan UMS anjur program kesedaran One Health, penyakit zoonotik di Sikuati

Read Time:1 Minute, 33 Second

Kota Kinabalu: Kelab pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), One Health Student Club (OHSC) berjaya menganjurkan program kesedaran mengenai konsep One Health (Satu Kesihatan) dan penyakit zoonotik bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sikuati, Kudat, baru-baru ini.

One Health merupakan konsep holistik yang diwujudkan untuk menjamin kesejahteraan dan kesihatan semua meliputi manusia, haiwan, tumbuhan dan alam sekitar. 

Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree berkata, penganjuran program tersebut bertujuan meningkatkan tahap kesedaran para pelajar sekolah tentang konsep One Health dan juga masalah penyakit zoonotik. 

Katanya, selain itu ia juga bagi memupuk sikap bekerjasama, saling berkomunikasi dan juga kemahiran menyelaras, yang merupakan tunjang kepada konsep One Health.

“Pada masa ini, dianggarkan sebanyak 60 peratus daripada patogen manusia diperoleh daripada spesies haiwan lain. Oleh yang demikian, pendekatan One Health hendaklah digunakan untuk menangani cabaran kesihatan antara manusia, haiwan dengan alam sekitar.

“Selain itu juga, penganjuran ini dilihat dapat meningkatkan lagi kemahiran komunikasi sains dalam kalangan pelajar perubatan UMS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program tersebut yang diadakan di Pusat Pendidikan Perubatan Desa UMS, Sikuati yang dihadiri seramai 50 pelajar sekolah.

Sementara itu, Pegawai Veterinar Daerah Kudat, Dr. Noorsyakilah Mohamud berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah menasihatkan masyarakat agar sentiasa berwaspada dengan penyakit anjing gila memandangkan Sabah sangat berisiko tinggi kerana dikelilingi negara dan negeri yang telah diisytiharkan positif penyakit anjing gila seperti di Indonesia dan Sarawak.

“Risiko kematian disebabkan oleh jangkitan penyakit anjing gila adalah sangat tinggi. 

“DVS Sabah akan terus berusaha bagi memastikan tindakan pencegahan dan kawalan penyakit rabies dalam kalangan penduduk sentiasa dilaksanakan.

“Orang awam juga dimohon agar mematuhi nasihat serta arahan yang dikeluarkan oleh kerajaaan dan pihak berkuasa bagi memastikan Sabah kekal bebas daripada penyakit rabies,” katanya lagi. 

Antara pengisian program ialah aktiviti bersama penceramah daripada pelbagai bidang, aktiviti berkumpulan dan yang utama adalah treasure hunt. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

135 beg darah berjaya dikumpul pada Hari Polis di IPD Beaufort

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya