Kelalaian, kelemahan pemain punca Sabah FC gagal pertahan rentak kemenangan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 32 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Kelalaian dan kelemahan pemain Sabah FC menjadi antara punca kepada kegagalan pasukan itu untuk meneruskan rentak kemenangan di laman sendiri selepas hanya mampu mengikat keputusan seri 2-2 ketika berdepan Terengganu FC di Stadium Likas malam tadi.

Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, pasukannya perlu menyalahkan diri sendiri apabila membiarkan pasukan pelawat berada di kawasan sendiri terlalu lama selain mengawal permainan.

“Kita mempunyai peluang yang kita cipta namun ketika kita mendahului 2-1 pada separuh masa kedua kita tidak dapat menambahkan jaringan, jadi ini meletakkan tekanan kepada kita.

“Seperti saya katakan awal-awal, Terengganu tewas dua perlawanan sebelum ini, sudah tentu mereka tidak ingin pulang tanpa sebarang mata, jadi mereka berusaha.

“Maka, kita harus mempersalahkan diri kita sendiri kerana membenarkan Terengganu berada di depan atau di kawasan kita terlampau lama dan mengawal permainan dengan begitu baik,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Pada aksi malam tadi, Sabah mendahului jaringan dengan 2-0 selepas berjaya meledakkan gol pada minit ke-27 melalui tandukan pemain importnya, Telmo Castanheira, disusuli gol sepakan penalti Darren Lok pada minit ke-36.

Bagaimanapun, Terengganu berjaya merapatkan kedudukan melalui sepakan percuma Sony Norde pada masa tambahan separuh masa pertama dan seterusnya gol penyamaan 2-2 juga melalui sepakan percuma Norde, tiga minit sebelum masa tambahan babak kedua tamat.

Kim Swee berkata, anak buahnya tidak menunjukkan rentak permainan seperti yang biasa dilakukan, sebaliknya Terengganu bermain dengan lebih baik terutama dari  segi mengawal permainan.

“Saya percaya mereka (pemain Sabah FC) melakukan tugas dengan baik apabila mendahului tetapi kita gagal mengawal permainan dengan begitu baik terutama dibolosi pada saat akhir separuh masa pertama.

“Itu adalah satu perkara yang harus kita elakkan. Jika gol (Terengganu) tidak berlaku pada separuh masa pertama kemungkinan keputusan permainan adalah berbeza,” katanya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *