HomeIsu tempatanLebih 100 peserta hadir jayakan bengkel persediaan hadapi bencana gempa bumi

Lebih 100 peserta hadir jayakan bengkel persediaan hadapi bencana gempa bumi

Read Time:2 Minute, 23 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu :  Seramai lebih 100 peserta terdiri dari murid, guru dan kakitangan Sekolah Kebangsaan Tongou Ranau hadir menjayakan Bengkel Persediaan bagi Menghadapi Bahaya Gempa Bumi kepada murid-murid di sekolah berkenaan.

Bengkel itu dijayakan bersama Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Ceramah persediaan dan latihan kecemasan bahaya gempa bumi yang diadakan bersempena dengan Program Minggu Anak yang Baik Lagi Cerdik (ABC) di sekolah tersebut disampaikan oleh Profesor Kehormat, FSSA yang juga Felo Penyelidik NDRC, Prof. Dr. Felix Tongkul.

Menurut Felix, salah satu objektif utama program tersebut dilaksanakan adalah untuk meningkatkan kefahaman murid sekolah berkaitan dengan sains gempa bumi sebagai asas persediaan dan panduan keselamatan menghadapi bencana tersebut. 

“Melalui bengkel ini juga dapat membantu melatih guru di setiap sekolah yang terlibat sebagai guru fasilitator gempa bumi bagi membimbing murid-murid di sekolah masing-masing.

“Latihan ini perlu dilakukan secara berulang-ulang agar murid-murid dan juga guru-guru sentiasa bersedia dan tahu bertindak sekiranya berlaku gempa bumi tanpa mengira berapa magnitud di masa akan datang, sikap berjaga-jaga dan tidak leka adalah lebih penting”, katanya.

Dalam pada itu, Pengarah NDRC, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus memaklumkan bahawa program pendidikan dan pemindahan ilmu mengenai bencana alam seumpama ini merupakan antara tujuan utama penubuhan NDRC kepada komuniti setempat agar lebih memahami serta lebih bersedia menghadapi bencana alam di masa hadapan.

Carolyn menambah, bengkel seumpama dijalankan oleh pihak NDRC sejak tahun 2018 lagi untuk sekolah-sekolah di daerah Ranau dan Lahad Datu melalui Projek Pendidikan Gempa Bumi untuk Murid Sekolah di Sabah, dengan pembiayaan daripada UNICEF Malaysia dan kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

“Namun program ini terhenti semasa negara mengalami pandemik COVID-19, dan pada tahun 2023 ini iaitu selepas pasca pandemik COVID-19 , SK.Tongou merupakan sekolah pertama di Sabah yang memulakan semula inisiatif untuk menjemput NDRC untuk memberikan ceramah latihan persediaan gempa bumi di sekolah mereka.

“Syabas kepada SK Tongou atas penganjuran program ini dan bagi pihak NDRC, kami sentiasa mengalu-alukan sebarang kerjasama berkaitan pendidikan dan kesedaran mengenai bencana alam,” kata Carolyn.

Beliau turut menyatakan harapan agar lebih banyak sekolah yang akan terlibat terutamanya di daerah Ranau dan Lahad Datu untuk menjadikan latihan persediaan gempa bumi ini sebagai latihan berkala di sekolah masing-masing memandangkan dua daerah ini merupakan daerah yang berisiko menghadapi bahaya gempa bumi di Sabah.

“NDRC sedia membantu sekiranya terdapat sekolah memerlukan bantuan kepakaran dan latihan persediaan gempa bumi ini pada masa akan datang,” ujar beliau.

Bengkel berkenaan turut dijayakan oleh fasilitator-fasilitator gempa bumi NDRC dan guru-guru SK Tongou.

Hadir sama dalam bengkel tersebut Guru Besar SK Tongou, Ranau, Mohd. Hafiz Stephen Abdullah; Penolong Kanan 1 Sekolah, Tan Mui Hiong; Penolong Kanan HEM, Siti Jamariah Datuk Abdullah; dan Guru Penyelaras 3K Kesihatan, Keselamatan, Keceriaan SK. Tongou, Mohd Effendee Ibrahim. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lapan finalis berentap dalam kategori remaja MTHQ

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya