DUN Sabah : Inisiatif perkasa sistem pentadbiran tanah akan diteruskan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 23 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Kerajaan negeri akan meneruskan pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi memperkasa sistem pentadbiran tanah di negeri ini agar ianya lebih cekap dan efisien selari dengan matlamat dan hala tuju dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ). 

Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahirudin berkata, satu pangkalan data berdigit bagi utiliti-utiliti bawah tanah seperti kabel telekomunikasi, paip-paip air dan saluran pembetungan telah mula dibangunkan oleh Kerajaan Negeri pada tahun lalu.

“Ini akan memudahkan perolehan maklumat utiliti-utiliti bawah tanah untuk tujuan perancangan dan pembangunan tanah. 

“Selain itu, aplikasi-aplikasi atas talian seperti e-LandDev yang membolehkan urusan tukar syarat guna tanah dan perlanjutan tempoh pajakan serta e-Land Enquiry yang membolehkan permohonan penyiasatan tanah dibuat secara atas talian telah ditambah baik untuk memberikan perkhidmatan yang lebih efisien kepada pemilik-pemilik tanah.,” katanya.

Tun Juhar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Kerajaan Negeri sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang ke-16 di DUN Sabah di sini hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri juga akan terus memberi keutamaan kepada pemberian tanah Anak Negeri dan pewartaan Tanah Rizab untuk Perkampungan Anak Negeri.

Tambahnya, pada tahun lalu, Kerajaan Negeri telah berjaya menyelesaikan pengukuran 7,531 Lot Tanah Anak Negeri dengan jumlah keluasan 16,593.20 hektar dan mewartakan 76 buah Tanah Simpanan Perkampungan Anak Negeri di bawah Seksyen 8, Ordinan Tanah Sabah seluas 1,335.47 hektar. 

“Bagi tahun ini, Kerajaan Negeri menyasarkan untuk mengukur sekurang-kurangnya 7,500 lot tanah Anak Negeri dengan keluasan 15,000 hektar dan mewartakan 75 kawasan sebagai Tanah Simpanan Perkampungan Anak Negeri,” katanya. – SABAH MEDIA.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *