Gunung Sinsing, ketiga tertinggi di Malaysia berketinggian 2,586 meter

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 43 Second

BERNAMA
Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Sandakan:  Jabatan Perhutanan Sabah secara rasminya telah mengukur ketinggian Gunung Sinsing di Tambunan dan mendapati ketinggian puncak gunung itu ialah 2,586 meter (m) dari aras laut sekali gus sebagai puncak ketiga tertinggi di Malaysia.

Jabatan berkenaan dalam kenyataan semalam memaklumkan, pada ekspedisi baru-baru ini, sekumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Perhutanan Sepilok bersama wakil Persatuan Komuniti Kampung Nupakan, Tambunan menggunakan peralatan penerima data sistem satelit navigasi sejagat yang lebih tepat iaitu Stonex S900A Sistem Satelit Navigasi Sejagat (GNSS) untuk mengesahkan ketinggian puncak gunung tersebut.

“Data ketinggian dicerap melebihi tempoh empat jam pada 10 Mei 2023. Data cerapan kemudian diproses oleh juruukur berdaftar untuk menentusahkan ketinggian sebenar puncak Gunung Sinsing dari aras laut.

“Dengan menggunakan kaedah itu, didapati ketinggian puncak Gunung Sinsing ialah 2,586m (m.s.l.), sekali gus mengekalkan statusnya sebagai puncak ketiga tertinggi di Malaysia dan Borneo,” menurut kenyataan itu.

Menurut Jabatan Perhutanan Sabah, gunung yang kurang dikenali itu terletak dalam Hutan Simpan Nuluhin Trusmadi, di bawah pengurusan Pejabat Perhutanan Daerah Tambunan serta merupakan sebahagian daripada Unit Pengurusan Hutan 10 (FMU10) Projek Pengurusan Hutan Mampan.

Gunung Sinsing telah menarik perhatian orang ramai sejak 2018 apabila di uar-uarkan menerusi media sosial sebagai puncak ketiga tertinggi di Malaysia dan Borneo, mengatasi Gunung Tambuyukon (2,580m) di Substesen Monggis Taman Kinabalu di Ranau.

Ketua Konservator Hutan Datuk Frederick Kugan berkata Jabatan Perhutanan akan meneruskan usaha untuk melindungi kawasan berkepentingan seperti Gunung Sinsing.

 Bersebelahan Gunung Sinsing ialah Gunung Trus Madi (2,642m), yang juga gunung kedua tertinggi di Malaysia serta diletakkan di bawah pengurusan FMU10 yang berkeluasan 88,401 hektar.

“Disebabkan ketinggian, hutan pergunungan ini menjadi habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna yang unik, yang sebilangannya tidak ditemukan di tempat lain.

“Melalui inisiatif Heart of Borneo (HoB) di bawah kelolaan Jabatan Perhutanan Sabah, satu ekspedisi saintifik telah dianjurkan bermula pada 14 hingga 20 Mei lepas untuk mengkaji kepelbagaian flora, fauna dan sosioekonomi setempat yang tinggal berhampiran hutan simpan,” katanya.

Gunung tertinggi di Malaysia ialah Gunung Kinabalu yang berketinggian 4,095m.  BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *