RM50 juta disediakan untuk biayai francais dan pra-francais tahun ini

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 10 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Penampang : Sebanyak RM50 juta diperuntukkan untuk pembiayaan francais dan pra-francais, pada tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, pada tahun lalu Pernas telah menyalurkan sejumlah RM423 juta pembiayaan francais kepada 2,612 usahawan francais di seluruh negara.

“Saya berharap lebih banyak perniagaan francais dibuka di Sabah dan mahu melihat perniagaan pra-francais yang berpotensi di negeri ini dikenalpasti serta dimajukan bagi membantu membangunkan pertumbuhan ekonomi di Sabah.

“Saya yakin usaha berterusan daripada agensi-agensi kerajaan seperti Pernas mampu melahirkan lebih ramai usahawan francais tempatan.

“Selain itu, sinergi yang ada dalam kalangan agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) seperti TEKUN, SME Corp, SME Bank, Bank Rakyat dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memberi impak maksima kepada usahawan-usahawan dengan penyediaan ekosistem keusahawanan yang lengkap dan menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Penjenamaan Semula Jenama Mok Corner, di Megalong Mall, di sini, hari ini.

Ewon berkata, peranan Pernas iaitu salah satu agensi di bawah kementeriannya dalam pembangunan usahawan francais turut mendokong misi KUSKOP menyediakan platform, khidmat sokongan, bantuan serta pembangunan kapasiti keusahawanan.

“Pernas bukan sahaja melahirkan ramai usahawan francais, malah turut membangunkan jenama-jenama francais tempatan di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Pernas menyediakan ekosistem keusahawanan yang kondusif dengan menawarkan produk-produk dan perkhidmatan bersesuaian kepada para usahawan,” katanya.

Katanya lagi, perkembangan pesat industri francais petanda baik semakin ramai menceburi bidang perniagaan francais.

Ewon berkata, berdasarkan Laporan Tahunan Perniagaan Francais, nilai jualan industri francais meningkat sebanyak 71 peratus pada tahun 2021. 

“Di Sabah, jenama-jenama francais tempatan seperti Kak Nong, Al-Hadanah, Sinar Suria, Nuvis, Fook Yuen, Daily Electronic Centre (DEC) dan Mok Corner telah merancakkan industri francais,” katanya.

Mengenai Mok Corner, Ewon berkata, ia mendapat bimbingan dan pembiayaan francais sebanyak RM1 juta daripada Pernas mulai 2019.

“Bermula dengan outlet kecil yang dibuka  pada tahun 2008 di Beaufort, kini Mok Corner mempunyai 39 outlet yang mana 18 cawangan dijalankan oleh francaisi, manakala selebihnya ialah outlet korporat yang dimiliki oleh Mok Corner Sdn Bhd. 

“Perkembangan perniagaan jenama Mok Corner ini menunjukkan jenama home grown telah mendapat tempat di kalangan masyarakat tempatan sekaligus membuktikan jenama home grown juga mampu bersaing dengan jenama-jenama francais antarabangsa yang lain.

“Is seharusnya menjadi pemangkin kepada bakal-bakal usahawan dan usahawan di Sabah menceburkan diri dalam perniagaan francais,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) Dato’ Hazimah Zainuddin, Ahli Lembaga Pengarah Pernas Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek, Pengarah dan Pengasas Mok Sdn.Bhd Jacky Chin, ketua-ketua agensi di bawah Kuskop dan pegawai-pegawai kanan Pernas. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *