HomePendapatKOREA - Lebih Miskin Dari Negara Afrika, Kini Menjadi Antara 10 Negara...

KOREA – Lebih Miskin Dari Negara Afrika, Kini Menjadi Antara 10 Negara Terkaya Dunia

Read Time:4 Minute, 0 Second

oleh — Muda Muhammad

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka” Surah Ar-Ra’ad ayat 11.

Kita selalu dengar cerita mengenai kebangkitan Jepun. Bangkit semula selepas hancurnya Hiroshima dan Nagasaki. Bangkit menjadi kuasa ekonomi dunia. Jika melihat dasar pandang ke Timur, ada satu lagi negara yang ramai orang terlepas pandang iaitu Korea Selatan.

Bila bercakap soal Korea Selatan, budak BBNU pada hari ini memang kenal sangat. Ya negara K-Pop. Menjerit jerit macam histeria  BBNU kalau sebut pasal K-POP. Semangat jeritan itu boleh dihalakan dengan cara yang lebih betul, ajar BBNU kenal sejarah kebangkitan ekonomi di Korea Selatan. Itu akan menjadi lebih berfaedah.

Pada tahun 1950an, selepas perang, Korea Selatan lagi miskin daripada Kenya, Niger dan Pakistan. Selepas kebangkitan ekonomi pada hari ini, Korea Selatan lebih kaya daripada Sepanyol, Portugal dan Itali. Apa formulanya?

Korea Selatan bangkit dari kehancuran. Negara mereka hancur akibat perang Korea pada tahun 1950an. Korea Utara lagi kaya dari Korea Selatan pada ketika itu. Ada sejarahwan Korea umpamakan kemiskinan Korea Selatan pada ketika itu umpama “setaraf dengan negara-negara miskin di Afrika”. Bagaimana hari ini Korea Selatan boleh bangun menjadi kuasa ekonomi yang hebat?

Ketika tahun 1970an, negara-negara Arika pula mengadaptasi strategi “Saemaul Undong” untuk membangunkan ekonomi di negara mereka. Strategi “Saemaul Undong” ini diaplikasikan oleh Presiden Korea, Park Chung Hee untuk membangunkan kawasan luar bandar di Korea Selatan dengan misi utama adalah untuk membasmi kemiskinan.

Bukan hanya K-Pop yang mereka eksport keluar, tetapi Samsung, LG, Hyundai dan Coway semuanya berasal dari Korea Selatan. Barang elektrikal yang dieksport semua sekali bernilai USD$116 billion. Hampir 30% dari eksport Korea Selatan adalah barang elektrikal.  Korea Selatan menjadi pembekal, inilah dasar yang membangunkan kembali mereka pada hari ini.

Apa rahsianya, dua perkara iaitu infrastruktur dan modal insan. Inisiatif pendidikan, latihan kemahiran, pembelajaran sepanjang hayat dan minda yang sihat menukar terus status Korea Selatan dari sebuah negara miskin pada tahun 1950an kepada Korea Selatan pada hari ini.

Pada tahun 1950an, ekonomi Korea Selatan juga banyak berasaskan pertanian, keadaan politik juga tidak stabil pada ketika itu. Jika membaca kisah kebangkitan awal Korea Selatan, ramai akan menggelarnya sebagai “Miracle Of Han River”. Apa itu sebenarnya? Ianya merujuk kepada perkembangan pesat industri pada tahun 1960an di sepanjang Han River di Seoul.

Korea Selatan bangkit dengan dua faktor utama ini iaitu polisi kerajaan dan Chaebols. Menerusi polisi kerajaan, Korea Selatan melaksanakan pelbagai polisi yang bertujuan untuk mempromosikan industri dan pembangunan ekonomi. Polisi ini termasuklah pelan perancangan dalam tempoh lima tahun, berorientasikan eksport, insiatif bantuan kewangan, subsidi dan bantuan infrastruktur daripada kerajaan untuk menyokong pertumbuhan industri.

Keduanya adalah berkaitan dengan Chaebols, yang merupakan satu kumpulan konglomerat besar yang menguasai industri di Korea Selatan. Idea Chaebols ini adalah daripada Presiden ketiga Korea Selatan iaitu Park Chung Hee yang mahukan dasar ekonomi berasaskan industri eksport. Bayangkan pada ketika itu, pendapatan perkapita rakyat Korea Selatan hanyalah US$72 sahaja. Hari ini sudah menjadi USD$18,350 dan kuasa ekonomi ke-10 terhebat di dunia.

Satu lagi faktor kebangkitan Korea Selatan adalah kerana disiplin, semangat patriotisme dan perpaduan di kalangan rakyatnya. Ketika krisis ekonomi pada tahun 1997, Korea Selatan yang dikenali sebagai Harimau Asia juga turut terkesan. Sejumlah USD$18 billion pelaburan asing ditarik keluar dan  ratusan ribu rakyat Korea Selatan hilang pekerjaan.

Korea Selatan terpaksa meminjam USD$58 billion dari IMF. Selama ini, banyak syarikat Korea Selatan dilindungi oleh kerajaannya. Sukar hendak membayar hutang, tetapi syarikat dan rakyat Korea Selatan bersatu hati. Mereka membuat kutipan wang dan derma. Setiap keluarga ada yang menderma secara puratanya 85 gram emas dengan nilai keseluruhan $USD2.17 billion berjaya dikumpul. Akhirnya pada tahun 2001, Korea Selatan berjaya membayar USD$19.5 billion yang dipinjam dari IMF, tiga tahun awal dari jadual pembayaran.

Kalau lah pada zaman itu ada Facebook, Tik Tok dan Twitter tentunya pelbagai perasaan dan emosi netizen marah akan timbul. Nasib baiklah toksik itu tiada. Kerana semangat cintakan negara lebih tinggi, kerana mereka tahu mereka pernah susah dan lebih miskin daripada negara-negara di Afrika pada satu ketika, rakyat Korea Selatan tidak mahu lagi perkara itu berulang.

Rakyat Korea Selatan bersatu hati untuk menyelamatkan negara mereka tanpa banyak soal. Tanpa terlalu banyak sangat emosi peribadi. Di Malaysia pun pernah terbangkit semangat serupa itu. Ketika Malaysia hendak mencapai kemerdekaan, nenek moyang kita dahulu mengadaikan wang ringgit, gelang emas, cincin emas dan harta mereka untuk pemimpin pergi mendapatkan kemerdekaan.

Semangat yang dipaparkan dalam filem Tanda Putera itu makin hilang ditelan zaman. Apa salahnya rakyat Malaysia meniru apa yang baik daripada Korea Selatan. Jangan letakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan negara. Ingatlah, negara Malaysia ini juga baru sahaja merdeka, usianya merdeka itu belum sampai pun 100 tahun.

Hargailah pengorbanan orang-orang yang terdahulu yang membolehkan kita pada hari ini menikmati kebahagiaan dan keamanan.

RELATED ARTICLES
Pendapat

Anak Sabah akan dilengkapi dengan kemahiran TVET, mampu bersaing dalam pasaran...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya