Inisiatif koperasi buka klinik bantu beri perkhidmatan kesihatan kepada anggota

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 18 Second

Kota Kinabalu : Jabatan dan agensi Kerajaan khususnya di negeri ini dicadang untuk menjadikan Klinik Sahabat sebagai klinik panel kepada kakitangan yang layak.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, klinik yang dimiliki Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) Berhad itu juga dilihat mampu memberi perkhidmatan perubatan kepada para anggota koperasi.

“Klinik ini adalah satunya dimiliki melalui konsep koperasi dan di Sabah, Koop Sahabat mempunyai keanggotaan sehingga lebih 78,000 ahli dan ia memerlukan satu potensi perkhidmatan klinik pada pandangan saya.

“Selain memberi perkhidmatan kesihatan kepada anggota koperasi, saya juga ingin mencadangkan agar jabatan dan agensi kerajaan khususnya di Sabah dapat menjadikan klinik ini sebagai panel klinik kepada kakitangan, “katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Klinik Sahabat Cawangan Sabah di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Koop Sahabat Mohd Najib Mohd Noor.

Ewon berkata, pihaknya juga berharap agar klinik berkenaan dapat dibuka cawangan di negeri atau daerah lain di Sabah.

“Selain dari pembangunan hartanah dan aktiviti perniagaan lain, Koop Sahabat ini merupakan antara tujuh koperasi terbaik di negara ini dan dengan pengembangan perniagaan seperti ini di seluruh negara ianya akan dapat mencetuskan kecemerlangan kepada koperasi ini.

“Justeru itu, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Koop Sahabat dan Pengerusi Lembaga Pengarah serta anggota kerana dapat menyediakan koperasi ini diantara yang terbaik di negara ini, “katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata, Koop Sahabat melalui perancangan pelan strategik yang dirangka mensasarkan akan membuka 10 buah cawangan klinik baharu menjelang 2026.

” Melalui pembukaan cawangan-cawangan tersebut, Koop Sahabat turut menganggarkan pendapatan tahunan sebanyak RM8 juta, “katanya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *