Dua suspek pemungut hutang simbah cat merah, berjaya ditahan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 23 Second

SANDAKAN: Pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan berjaya menahan dua suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan mengugut peminjam wang untuk menuntut bayaran hutang dengan mengunci pagar dan menyimbah cat merah di Sandakan.

Pemangku Ketua Polis Sandakan, Superintenden Mohd Hamizi Halim berkata, kedua-dua suspek lelaki masing-masing berumur 19 dan 35 tahun itu ditahan di Taman Sejati pada pagi kelmarin.

Katanya, tangkapan dibuat selepas polis menerima aduan daripada seorang mangsa yang pagar depan rumahnya dikunci serta disimbah cat merah di Taman Bahagia, disyaki perbuatan khianat pada 16 Mei lepas.

“Hasil siasatan mendapati kejadian disyaki dilakukan oleh pemberi pinjaman wang online ( Ah Long ) yang mahu menuntut hutang daripada mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Mohd Hamizi, pemberi pinjaman wang online ( Ah Long ) telah mengupah kedua-dua suspek untuk melakukan jenayah ini.

“Suspek tersebut mula beroperasi sejak akhir tahun lalu menumpukan mangsa di sekitar daerah Sandakan dan Lahad Datu,” katanya.

Tambah beliau, dengan kejayaan tangkapan suspek tersebut, polis berjaya menyelesaikan lima kes yang dipercayai dilakukan oleh suspek.

“Semakan rekod jenayah mendapati suspek berumur 35 tahun mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Permohonan reman kedua dua suspek akan dibuat esok di Mahkamah Sandakan.

“Kes disiasat mengikut seksyen 5 ( 2 ) Akta Pemberi Pinjam Wang ( APPW) 1951 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mohd Hamizi menasihatkan kepada orang ramai agar jangan mudah terpedaya dengan tawaran skim pinjaman selain dari syarikat perbankan dan meneliti perjanjian sebelum membuat sebarang pinjaman dari Ahlong atau pemberi wang tanpa lesen, jangan sewenangnya muat turun aplikasi yang mencurigakan.

“Disamping itu, sentiasa menukar semua kata laluan perbankan internet, akaun e-wallet dan media sosial sebagai langkah keselamatan,” ujarnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *