JTK Sabah siasat isu pekerja kematian isteri disamping anak baru dilahirkan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:3 Minute, 16 Second

KOTA KINABALU: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah sedang jalankan siasatan terperinci berhubung isu seorang pekerja trauma melihat kematian isteri disamping anak yang baru dilahirkan di rumah sewa mereka selepas pulang dari kerja dalam kejadian pada awal Mei lalu.

Berikutan dengan perkara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud amat sedih dan
turut bersimpati dengan kejadian menimpa pekerja berkenaan.

“Sebaik mendapat berita tersebut, saya telah meminta Jabatan Tenaga Kerja Sabah untuk membantu perkara ini bagi mendapat maklumat yang tepat daripada pekerja dan majikan.

“Saya dimaklumkan pada masa ini pekerja masih lagi amat sedih dengan pemergian isterinya dan hanya mahu bersama anaknya yang baru dilahirkan.

“Saya amat berharap agar semua pihak tidak membuat apa-apa spekulasi dan menyerahkan kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk menyelesaikan situasi ini sebaik mungkin mengikut perundangan dan kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mustapha berkata, mengikut sumber daripada majikan, mereka telah dimaklumkan oleh pekerja tentang isterinya yang telah bersalin dan telah memberi cuti paterniti kepada pekerja selama dua hari untuk urusan berkaitan. Majikan juga membenarkan pekerja untuk mengambil cuti
tahunan sehingga urusan selesai.

“Majikan ada menyatakan bahawa selepas enam hari kelahiran, pekerja telah datang bekerja dan memaklumkan pada pagi tersebut kepada pengurusan syarikat bahawa isteri dan anaknya dalam keadaan sihat dan beliau boleh bekerja seperti biasa.

“Bagaimanapun pada hari tersebut, apabila pulang dari kerja, beliau mendapati isterinya telah meninggal dunia disamping anak yang baru dilahirkan,” katanya.

Menurutnya, majikan juga ada memaklumkan bahawa bantuan dan sumbangan telah diberikan termasuk urusan semasa di hospital sebaik mengetahui perkara ini dan majikan juga bersedia untuk membantu apa-apa keperluan yang diperlukan oleh pekerja.

“Saya mohon agar netizen tidak menyalahkan sesiapa dalam kejadian ini kerana pihak majikan masih mematuhi Ordinan Buruh (Sabah Bab 67),” jelasnya.

Mustapha turut memaklumkan buat masa sekarang peruntukan cuti bersalin kepada bapa sebanyak tujuh
hari sebagaimana yang telah dilaksanakan di Semenanjung masih belum dikuatkuasakan di Negeri Sabah.

“Saya ingin memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah memberi persetujuan kepada KSM untuk meminda Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) agar pekerja di Sabah juga mendapat faedah yang sama sebagaimana pekerja di Semenanjung.

“Pindaan ini telah diperhalusi dengan perbincangan bersama antara
Kerajaan, Majikan dan Kesatuan Sekerja di Sabah dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk keadaan ekonomi dan realiti pembangunan Negeri Sabah,” katanya.

Tambah beliau, KSM memberi komitmen bahawa hak pekerja akan diperjuangkan sesuai dengan
Piawaian Perburuhan Antarabangsa yang digariskan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Hasil siasatan oleh JTK Sabah, memang benar majikan ada memotong gaji pekerja selama 13 hari semasa tempoh berkabung kerana pekerja tidak memohon apa-apa cuti
tahunan dan sehingga sekarang pekerja masih belum memaklumkan kepada pihak majikan bilakah tarikh akan bekerja semula.

“Bagaimanapun, setelah dinasihati oleh JTK Sabah, majikan telah menarik balik potongan tersebut dan telah membayar gaji penuh kepada pekerja walaupun menjadi tanggungjawab pekerja untuk memohon cuti tahunan
terlebih dahulu jika tidak hadir bekerja,” ujarnya.

Kata Mustapha lagi, mengikut undang-undang, pekerja perlu bekerja genap dua belas bulan terlebih dahulu untuk melayakkan cuti tahunan, tetapi atas nasihat JTK Sabah, majikan bersetuju untuk memberi cuti bergaji selama pekerja tidak hadir bekerja.

“Saya difahamkan bahawa pekerja ini mula bekerja dengan syarikat ini pada 2 Disember 2022 iaitu selama 5 bulan sehingga sekarang.

“Saya juga dimaklumkan bahawa pekerja hanya hadir tiga hari sepanjang bulan Mei 2023 dan pihak majikan tetap membayar gaji penuh untuk bulan tersebut setelah mendapat
nasihat daripada JTK Sabah.

“JTK Sabah masih berusaha untuk mendapatkan maklumat daripada pekerja tentang kejadian sebenar yang berlaku pada hari kejadian.

“Bagaimanapun semasa dihubungi,
pekerja memaklumkan bahawa beliau amat sedih dan trauma dengan kehilangan isteri tersayang serta masih belum dapat menerima dengan apa yang telah berlaku.

“Emosinya masih terganggu dan pekerja memohon kepada JTK Sabah agar diberi tempoh untuk beliau menenangkan fikiran terlebih dahulu sebelum dapat memberi apa-apa kenyataan dalam perkara ini,” tambahnya.

Mustapha turut meminta agar pihak JTK Sabah dapat membantu perkara ini dan menunggu tarikh yang sesuai untuk bertemu dengan pekerja tersebut.

“Saya mendoakan semoga seluruh ahli keluarga ini bersabar, tabah dan cekal menghadapi ujian ini dan dipermudahkan segala urusan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *