Peruntukan RM320 juta, kurangkan ketirisan air di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 36 Second

KOTA KINABALU: Peruntukan sebanyak RM320,250,000 daripada Kerajaan Persekutuan akan digunakan dalam usaha menumpukan pengurangan ketirisan air atau Air Tidak Berhasil (NRW) di negeri Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah III yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, semalam satu mesyuarat telah diadakan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan juga Menteri Besar Kelantan di Putrajaya berkenaan kaedah penyelesaian isu bekalan air di Sabah dan juga Kelantan.

“Pada mesyuarat tersebut Kerajaan Sabah telah mengemukakan langkah-langkah jangka pendek dan panjang bagi tangani isu air Sabah.

“Untuk jangka pendek, kita mempunyai 20 program yang akan kita akan laksanakan serta merta dan masa terdekat enam hingga 12 bulan untuk memulihkan keadaan air yang kita sedang hadapi di Sabah.

“Jadi bagi tempoh jangka pendek ini kita menumpukan usaha mengurangkan NRW iaitu ketirisan air dan menjadikan loji rawatan air dalam keadaan yang lebih efisien, ini telah mendapat persetujuan Perdana Menteri, itulah kita mendapat kelulusan peruntukan RM320,250,000 itu untuk dilakukan serta merta.

“Antara inisiatif kita mengurangkan NRW ialah dengan melakukan pemotongan sambungan paip haram (kecurian air), membaiki paip bocor yang usang di sekitar Pantai Barat Selatan serta menggantikan pam air yang sudah rosak yang perlu diperbaiki dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan set kelengkapan pengurusan jenazah bagi masjid-masjid dan surau-surau dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru di Dewan Terbuka Kampung Tanjung Aru Lama di sini hari ini.

Shahelmey berkata, dalam mesyuarat yang sama Ketua Menteri telah membentangkan perancangan Kerajaan Negeri untuk tanggani masalah air jangka masa panjang yang mana akan melibatkan dua empangan iaitu Ulu Padas dan empangan Papar ini akan dilaksanakan.

“Dalam tempoh perancangan pembinaan dua empangan tersebut, Perdana Menteri telah mengarahkan satu jawatankuasa antara Persekutuan dengan Sabah bagi kita melihat kaedah pelaksanaan, pembiayaan dan sebagainya. Terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana membantu menyelesaikan masalah air di Sabah,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *