Sabah perlu pembenihan awan segera – Armizan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 53 Second

BERNAMA

Papar :  Isu bekalan air di Sabah yang dilihat kritikal memerlukan proses pembenihan awan dilaksanakan dengan segera bagi meningkatkan paras air sungai yang menjadi sumber air mentah utama bagi pengoperasian berkesan Loji Rawatan Air (LRA) di negeri tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kerajaan Sabah boleh membuat permohonan untuk proses itu kepada kerajaan Persekutuan dalam usaha menangani bekalan air yang semakin berkurangan di Sabah.

Beliau berkata sekiranya pasukan teknikal di peringkat negeri Sabah sudah mengenal pasti keperluan berkaitan pembenihan awan bagi membolehkan hujan di kawasan diperlukan, pihak kerajaan negeri boleh mengemukakan permohonan proses itu kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Saya tidak mahu berselindung, memang tahap bekalan air di Sabah sudah mencapai tahap kritikal dan fenomena monsun barat daya kali ini akan menjadikan status itu (bekalan air) menjadi jauh lebih kritikal lagi.

“Namun saya melihat memang keadaannya agak serius dan sekiranya tidak dilakukan (pembenihan awan) akan lebih banyak lagi LRA yang terkesan,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan lawatan ke LRA Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) Limbahau, di sini, semalam. 

Armizan,yang juga Ahli Parlimen Papar, berkata ketika ini LRA EWSS itu juga turut terjejas apabila paras air sungai Papar menurun menyebabkan loji yang mampu menyalurkan bekalan air bersih 10 juta liter sehari (JLH) itu tidak dapat beroperasi sejak seminggu lalu menyebabkan lebih 19,000 penduduk daripada 33 buah kampung di Papar terputus bekalan air.

Beliau berkata sebagai tindakan segera, proses penghantaran bekalan air bersih telah dijalankan  dengan menggunakan lori tangki air di kawasan awam seperti masjid dan balai raya untuk penduduk kampung yang terjejas.

Mengulas lanjut, Armizan berkata antara cadangan lain yang akan dilaksanakan dalam jangka masa panjang ialah menyediakan tangki-tangki statik berkapasiti antara 10,000 liter hingga 20,000 liter air di kampung-kampung yang menghadapi masalah bekalan air kritikal.

Selain itu, beliau berharap proses naik taraf LRA Kogopon Papar yang berkapasiti 40 JLH kepada 80 JLH yang dijangka siap pada tahun lalu, namun telah tergendala sejak 10 tahun lalu, akan dapat dilaksanakan pada tahun ini.

“Jumlah terkini, kita cuba meminimumkan benda-benda tertentu maka memerlukan tambahan RM67 juta lagi daripada kos asal iaitu RM312 juta…jadi kos yang diperlukan sekarang hampir RM400 juta disebabkan skop yang berubah dan peningkatan harga barangan maka kos itu telah meningkat. ,” katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata beliau turut berpuas hati dengan pembentangan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengenai pelan jangka pendek bagi menangani krisis air di negeri itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Putrajaya, semalam (kelmarin).

Beliau berkata pelan jangka masa pendek antara enam hingga 12 bulan melibatkan kos RM320.25 juta membuktikan kepimpinan negeri mengambil tindakan tangkas untuk kepentingan umum dan dilaksanakan dengan segera.

“Kita tiada pilihan, kalau tidak dilaksanakan sekarang sebagai contoh pembinaan empangan kalau tidak diputuskan sekarang, ia tidak akan siap dalam setahun dua tetapi sekurang-kurangnya mengambil masa minimum 60 bulan untuk disiapkan bagi sebuah empangan,” katanya.

Namun, katanya, dalam mengambil keputusan itu perlu mengambil kira jaminan keselamatan sosioekonomi, peluang pekerjaan dan ganti rugi kepada penduduk kampung yang terlibat.

Hajiji semalam dilaporkan berkata kerajaan Sabah yakin bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan akan membantu mempercepat pelan jangka pendeknya dalam menangani krisis air di negeri itu.

Ketua Menteri berkata bantuan kewangan sebanyak RM320.25 juta itu merangkumi pelaksanaan enam program yang terdiri daripada 20 projek di seluruh negeri termasuk sembilan bagi daerah Kota Kinabalu, Tuaran, Putatan, Papar, Beaufort, Keningau, Tawau, Lahad Datu dan Sandakan.- BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *