Laporan Double Six : Masih banyak persoalan timbul – Jeffrey

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 6 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Pendedahan laporan tragedi ‘Double Six’ yang diumumkan April lalu dilihat masih menjadi tanda tanya pelbagai pihak khususnya keluarga mangsa yang terkorban.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, laporan itu juga dilihat wajar untuk didedahkan lebih awal dan tidak disembunyikan selepas kejadian berlaku.

“Walaupun laporan telah didedahkan, namun masih banyak persoalan tentang isu ini termasuklah beberapa perkara. Jika itu sahaja yang didedahkan, laporan itu tidak ada apa kesan.

“Persoalannya kini kenapa begitu lama disembunyikan, kenapa tidak didedahkan dari mula. Ini semua memberi kita satu persoalan yang bermain dikepala kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui seles menghadiri upacara memperingati tragedi berkenaan yang diadakan di Tugu Peringatan Double Six Sembulan bagi mewakil Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Sabah II, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai serta waris atau ahli keluarga mangsa nahas pesawat berkenaan.

Jeffrey berkata, pihaknya turut mempersoal berkaitan laporan forensik kapal berkenaan termasuk kemana ‘hilangnya’ kotak hitam pesawat berkenaan.

“Paling penting ialah dimana kotak hitam, kotak hitam itu mungkin akan dapat memberi maklumat lebih terperinci apa yang berlaku.

“Kenapa sehingga kini tidak boleh dikesan, adakah kotak itu hilang atau dihilangkan, ini menjadi persoalan sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, Jeffrey berkata, Kerajaan Sabah menyerahkan kepada keluarga mangsa terlibat mengenai tindakan lanjut mereka selepas laporan berhubung insiden itu dikeluarkan pada April lalu.

Katanya, kerajaan negeri menyokong apa saja yang dimahukan ahli keluarga mangsa selagi tindakan itu disifatkan sebagai perkara yang betul untuk dilakukan.

Menurutnya lagi, ia berkaitan usaha mendapatkan lebih banyak maklumat berhubung siasatan yang dibuat sebelum ini, termasuk persoalan mengenai kotak hitam pesawat.

“Saya fikir ia terpulang kepada keluarga (untuk meminta apa yang mereka mahukan). Kerajaan menyokong apa saja yang keluarga mereka mahu selagi ia adalah perkara yang betul dibuat,” katanya.

Terdahulu, Jeffrey mewakili kerajaan negeri meletak kalungan bunga di Tugu Peringatan Double Six sebagai tanda penghormatan kepada mangsa yang terkorban dalam tragedi itu.

Turut meletak kalungan bunga ialah ahli keluarga mangsa dan wakil Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), selaku penganjur majlis berkenaan.

Tragedi Double Six merujuk kepada nahas pesawat Nomad yang terhempas ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di perairan Kampung Sembulan, di tapak Tugu Peringatan Double Six sekarang pada 6 Jun 1976.

Ketika kejadian, pesawat berkenaan yang dinaiki Ketua Menteri Sabah pada masa itu, Tun Fuad Stephens dan beberapa anggota Kabinet negeri dalam penerbangan dari Labuan.

Semua penumpang termasuk juruterbang pesawat berkenaan terkorban. – SABAH MEDIA.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *