HomeUtamaPolis tangkap empat individu broker projek termasuk bergelar 'Datuk'

Polis tangkap empat individu broker projek termasuk bergelar ‘Datuk’

Read Time:2 Minute, 21 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Empat individu termasuk dua bergelar ‘Datuk’ berjaya diberkas oleh sepasukan polis bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sabah kerana disyaki terbabit dalam satu kes penipuan memberi kelulusan segera mendapatkan Letter of Award (LoA) projek Kudat Oil and Gas Industrial Park (KOGIP) bernilai USD25 bilion.

Menurut sumber, keempat-empat individu ini telah membuat temuduga terbuka kepada kontraktor-kontraktor Sabah yang berminat untuk mendapatkan projek berkenaan pada 5 Jun 2023 di sebuah hotel di Kota Kinabalu.

Katanya, temuduga terbuka itu bermula pada jam 9 pagi hingga 5 petang dikendalikan oleh dua orang “Datuk” berkenaan untuk meyakinkan para kontraktor yang hadir semasa sesi temuduga tersebut.

Sumber berkata, para kontraktor yang layak semasa sesi temuduga itu dijanjikan akan menerima LoA dengan mudah hanya dalam masa dua hari selepas membuat pembayaran paling minimum RM300 ribu atau 10 persen dari nilai projek yang ditawarkan.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun mengesahkan telah membuat tangkapan ke atas keempat-empat individu berkenaan pada hari yang sama iaitu 5 Jun lalu.

“Hasil daripada laporan orang awam, polis berjaya menangkap keempat-empat individu termasuk dua orang yang memperkenalkan diri mereka dengan gelaran “Datuk” dan telah ditahan reman selama empat hari untuk tujuan siasatan lanjut.

“Pihak Bahagian Jabatan Jenayah Komersil telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan ke atas empat suspek berkenaan yang terlibat dengan satu aktiviti yang dikatakan cuba menawarkan projek-projek berkaitan dengan KOGIP,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan (Jun) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah Tahun 2023 di Dataran Kawad, Kepayan hari ini.

Menurut Jauteh, hasil siasatan lanjut didapati bahawa individu-individu berkenaan tidak mempunyai kuasa ataupun akses terhadap projek berkenaan.

“Difahamkan suspek-suspek berkenaan cuba menawarkan projek dan meminta wang pendahuluan (deposit) daripada mangsa.

“Walau bagaimanapun setelah tamat reman empat hari, kita telah lepaskan empat suspek berkenaan dengan jaminan polis,” katanya.

Jauteh berkata, setakat ini belum ada kerugian dilaporkan daripada mangsa akibat daripada kegiatan empat suspek tersebut namun suspek-suspek berkenaan pernah ada laporan kes lampau yang juga membabitkan dengan kes penipuan.

Tambah beliau, keempat-empat suspek berumur antara 40 hingga 60 tahun dan bukan rakyat tempatan Sabah.

Katanya, siasatan turut mendapati kumpulan ini sudah lama menjalankan kegiatan mereka ke seluruh Malaysia dengan memperkenalkan diri sebagai “broker” (melobi projek).

Ditanya mengenai dua suspek yang mempunyai gelaran “Datuk”, Jauteh berkata, berkaitan dengan gelaran itu, ianya sedang dalam siasatan.

Sehubungan dengan itu, Jauteh turut menasihatkan para peniaga khususnya para kontraktor supaya tidak memberikan wang pendahuluan sebagai bentuk pengurusan sebelum mengetahui kebenaran projek tersebut wujud atau tidak.

“Saya nasihatkan para para peniaga khususnya para kontraktor apabila berurusan kepada sesuatu projek jangan memberi duit dahulu, ini banyak yang kita terima aduan mereka memberikan wang pendahuluan sebagai bentuk pengurusan sedangkan projek itu belum terbukti ada atau tidak.

“Ini mengakibatkan apabila kes ini berlarutan, projek tidak dapat, wang hilang,” tegasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Bakal jemaah haji Sabah perlu siapkan diri dari aspek mental, kekuatan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya