HomeIsu tempatanRentas Borneo kembali dilaksanakan, kongsi ilmu kepada masyarakat luar bandar

Rentas Borneo kembali dilaksanakan, kongsi ilmu kepada masyarakat luar bandar

Read Time:2 Minute, 33 Second

Kota Kinabalu : Program Rentas Borneo 2023 yang terhenti selama tiga tahun berikutan pandemik COVID-19 kini kembali dilaksanakan di Kampung Long Pasia Sipitang.

Program yang disertai seramai 100 orang peserta terdiri daripada kakitangan dan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu telah dimulakan sejak 2014 sempena sambutan ulang tahun ke-20 universiti berkenaan.

Majlis pelepasan konvoi melibatkan 30 buah kenderaan pacuan empat roda itu disempurnakan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor di Dataran Dewan Canselor di sini hari ini.

Kasim berkata, program anjuran Kelab Sukarelawan Pacuan Empat Roda UMS (UMS 4WDVC) itu akan berlangsung selama lima hari bermula hari ini sehingga 17 Jun ini yang bertemakan ‘To Long Pasia’.

Katanya, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ke kawasan pedalaman Sabah itu menekankan kepada peranan UMS dalam melakukan proses pemindahan dan perkongsian ilmu kepada masyarakat. 

“Program ini telah dimulakan sejak 2014 dimana mereka yang terlibat akan mengelilingi seluruh daerah di negeri Sabah sebagai salah satu aktiviti mempromosi UMS kepada masyarakat terutamanya yang tinggal di pedalaman.

“Dengan kejayaan program yang dimulakan pada tahun berkenaan, kita teruskan pada tahun 2015 di Pagalungan, Pensiangan; tahun 2016 di Kampung Pun Batu, Sook; tahun 2017 di Kampung Magandai, Kota Marudu dan terakhir sekali pada tahun 2019 di Kampung Gusi, Ranau sebelum terhenti akibat pandemik COVID-19.

“Pada 2018, program ini diubah suai pelaksanaannya dengan menjalankan aktiviti rentas sempadan dan memasuki negeri Sarawak,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melepaskan konvoi program berkenaan di sini.

Kasim berkata, meskipun dilihat sebagai program CSR namun ianya juga memberikan peluang untuk menerapkan konsep ‘service learning’ bagi membolehkan pensyarah, kakitangan pentadbiran dan pelajar UMS mempraktikkan teori dan idea yang diperoleh dalam bilik kuliah dan diterjemahkan kepada perkhidmatan yang secara langsung berfaedah kepada komuniti. 

“Melalui penganjuran program ini juga UMS dapat menyebarluaskan kepentingan pendidikan secara umumnya, dan pendidikan tinggi secara khususnya, dengan menggunakan UMS sebagai mercu lambang untuk pendidikan tinggi di Sabah kepada komuniti pedalaman yang mempunyai perhubungan terhad dengan masyarakat luar,” katanya.

Sementara itu, Kasim berkata, sepanjang program itu, beberapa perkhidmatan dan projek pemindahan ilmu akan dijalankan untuk manfaat penduduk kampung seperti pemeriksaan kesihatan, rawatan pergigian dan perubatan, ceramah serta bengkel berkaitan teknologi tenaga solar, teknologi maklumat (ICT), teknologi air bersih, penternakan ikan, teknologi pertanian, pendedahan kepelbagaian seni budaya di Malaysia, sukan dan rekreasi, serta aspek keusahawanan melibatkan industri seperti inap desa dan makanan serta minuman. 

Katanya, pada masa yang sama komuniti akan diberikan pendedahan mengenai perkembangan dalam dunia pendidikan dan impaknya kepada kesejahteraan masyarakat memandangkan kedudukan kampung ini jauh di pedalaman dan terasing daripada masyarakat luar. 

“Secara khususnya, program ini menyokong Lonjakan ke-10 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) yang memfokuskan kepada ‘Transformasi Penyampaian Pendidikan Tinggi’. 

“Salah satu tumpuan utama ialah mewujudkan jaringan kukuh antara universiti awam dan komuniti. Justeru, program ini akan merentas hubungan yang kukuh dan erat dengan komuniti pedalaman di Sabah agar arus pembangunan dalam pendidikan dapat dilihat, dirasai dan meresap ke seluruh pelusuk masyarakat,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Shahril Yusof yang juga Presiden UMS 4WDVC. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

QSB terima kunjungan hormat delegasi Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular