HomeUtamaGagasan Rakyat mula atur persiapan hadapi PRN17

Gagasan Rakyat mula atur persiapan hadapi PRN17

Read Time:2 Minute, 41 Second

PITAS: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mula mengatur persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) bermula dengan pelancaran Gagasan Rakyat Bahagian Pitas, hari ini.

Ketua Menteri yang juga Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, semua 73 bahagian parti itu perlu bersiap sedia dari sekarang untuk memastikan kemenangan Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau berkata, semua bahagian dan cawangan, termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat perlu bergerak awal mengukuhkan jentera parti dan
menambah keahlian di semua bahagian.

“Inilah yang kita akan lakukan bermula di Bahagian Pitas ini kerana tidak lama lagi Pilihan Raya Umum (PRN), iaitu kira-kira dua tahun lagi.

“Kalau GRS dan 73 bahagian Gagasan Rakyat sudah sedia, kuatkan bahagian, banyakkan ahli di cawangan, kuatkan jentera sayap kita, Wanita, Pemuda dan Beliawanis, insyaAllah kita boleh fikirkan untuk pastikan kita mendapat mandat rakyat sekali lagi pada PRN akan datang,” katanya ketika melancarkan Gagasan Rakyat
Bahagian Pitas di Dataran Pitas, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Pitas, Datuk Seri Ruddy Awah; Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Mohd Razali Razi, Ketua Pemuda GRS, Datuk Fairuz Renddan dan Ketua Beliawanis, Emmie M. Idang.
Gagasan Rakyat Bahagian Pitas adalah yang pertama dilancarkan oleh Hajiji di peringkat bahagian selepas pelancaran Gagasan Rakyat di peringkat negeri pada 2 Mac lalu.

Hajiji berkata, berdasarkan sambutan rakyat terhadap parti itu yang semakin memberangsangkan, beliau yakin Gagasan Rakyat mempunyai masa depan yang
cerah di negeri ini.

“Rakyat kita mahu sebuah parti tempatan untuk menjadi platform kita berjuang membela nasib rakyat kita di Sabah. Kita tubuh parti ini bukan mudah, semua tahu perjalanan politik kita di Sabah ini berliku dan penuh cabaran hebat.

“Tapi saya yakin dengan Gagasan Rakyat ini insyaAllah perjuangan parti tempatan ini kita dapat angkat bersama GRS untuk Sabah ini. Inilah gabungan besar yang akan kita pakai dalam PRN akan datang.

“Kita mahu menyatupadukan rakyat kerana kita telah mengalami pelbagai gelombang cabaran politik Sabah. Bukan mudah untuk kita sampai ke kedudukan kita hari ini sehingga kita berjaya menggunakan parti tempatan,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinannya bahawa Gagasan Rakyat yang berkonsepkan parti berbilang kaum diterima rakyat Sabah.

Katanya, perjuangan parti itu akan memberi isyarat jelas kepada parti pembangkang di Sabah bahawa Gagasan Rakyat dan GRS akan menjadi platform politik yang kuat pada masa akan datang di Sabah.

Hajiji turut mengulangi keyakinannya terhadap keupayaan GRS yang kini dianggotai tujuh parti dalam menghadapi apa saja cabaran ke arah membangunkan Sabah seperti aspirasi rakyat negeri ini.

“Inilah perjuangan kita dalam Gagasan Rakyat, kita pilih parti lokal, cukuplah kita ikut parti nasional. Sekarang tiba masa untuk kita pakai parti lokal, tapi kita tidak boleh gaduh dengan parti nasional. Kita mesti juga kawan dan kerjasama dengan parti nasional tapi keutamaan kita ialah parti tempatan.

“Kita juga mesti kuatkan GRS dan kerjasama dengan rakan komponen kerana kalau kita bersatu padu kita akan lebih kuat dan maju. Kita perlu belajar dari kesilapan lalu, kita banyak bergaduh menyebabkan orang lain mengambil kesempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji memberi jaminan pembangunan daerah termasuk di Pitas akan diberi keutamaan sejajar komitmen kerajaan GRS untuk membawa pembangunan menyeluruh dan membela nasib rakyat negeri ini.

Katanya, setiap projek yang diumumkan kerajaan pasti akan dilaksanakan demi pembangunan negeri dan kepentingan rakyat terutama di luar bandar.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan negeri hargai peranan media di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya