HomeUtamaRazarudin dilantik Ketua Polis Negara

Razarudin dilantik Ketua Polis Negara

Read Time:2 Minute, 20 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kuala Lumpur : Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu selama dua tahun secara kontrak selepas bersara berkuat kuasa Jumaat ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelantikan itu mendalat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

“Adalah dimaklumkan bahawa seperti yang termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis telah memperkenan pelantikan secara kontrak selepas bersara Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid sebagai Ketua Polis Negara selama dua tahun berkuatkuasa mulai 23 Jun sehingga 22 Jun 2025.

“Kerajaan mengucapkan syabas dan tahniah di atas pelantikan ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Razarudin, 61, berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menjawat pelbagai jawatan di peringkat Negeri dan Kontinjen. 

Beliau memulakan tugas pada tahun 1984 di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah sebagai Pegawai Penyiasat dan meneruskan khidmat di jabatan tersebut  sehingga tahun 1996 dengan pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) di Daerah Muar, Johor.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai ASP Pentadbiran di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Bahagian Pengurusan di daerah sama pada tahun 1997. 

Pada tahun berikutnya, beliau kembali bertugas di JSJ Daerah Muar sebagai Pegawai Penyiasat Kanan dan di jabatan yang sama di Kontinjen Johor. 

Pada tahun 2000, beliau meneruskan khidmat di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kluang sebelum menyambung pelajaran di Maktab PDRM Cheras. 

Kemudian beliau ditempatkan di JSJ Daerah Kota Setar dan dinaikkan pangkat ke Timbalan Penguasa Polis (DSP) dengan memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sandakan.

Selepas itu, beliau dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kudat dan berkhidmat selama tiga tahun sebelum kembali ke JSJ Bukit Aman di Operasi Khas D8 dengan pangkat Superintenden dan menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana. 

Sekembalinya dari belajar, beliau dinaikkan pangkat ke Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) dan ditempatkan sebagai Penolong Pengarah D9, JSJ Bukit Aman. 

Setelah itu beliau dinaikkan pangkat ke Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) dengan menjawat jawatan sebagai Timbalan Komander, Special Task Force On Organise Crime (STFOC), Skuad Taktikal Khas 1 (Jenayah), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebelum ke Kontinjen Pulau Pinang sebagai Ketua JSJ. 

Beliau dinaikkan pangkat ke Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah dan dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak dua tahun selepas itu, seterusnya dinaikkan pangkat ke Pesuruhjaya Polis dengan memegang jawatan sebagai Ketua Polis Perak. 

Kemudian beliau dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman selama setahun sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara mulai tahun 2021 sehingga kini.  – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

DBKK laksana pemeriksaan berjadual ke atas pokok dibawah seliaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular