TAWAU: Seramai 12 individu termasuk tiga wanita ditangkap kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pertaruhan sabung ayam di kawasan ladang kelapa sawit persendirian, Kalunpang dekat ini pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pasukan operasi dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau itu dijalankan hasil risikan serta maklumat dari orang awam.
Katanya, hasil dari tangkapan berkenaan, seramai sembilan orang lelaki dan lima daripadanya warga asing termasuk tiga wanita.
“Kesemua individu berusia 17 hingga 71 tahun itu ditahan dalam serbuan lebih kurang jam 5.00 petang pada Sabtu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Jasmin, ketika serbuan dijalankan, pihak polis turut berjaya merampas tujuh ekor ayam sabung serta set alat dipercayai bagi tujuan judi dan merampas wang tunai bernilai RM 1210.00 yang dipercayai digunakan dalam aktiviti perjudian berkenaan.
“Suspek dan barang rampasan kemudiannya dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.
“Kesemua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015, Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Tambah beliau, hasil siasatan lanjut mendapati lokasi berkenaan dipercayai sering dijadikan sebagai tempat kegiatan perjudian dan aktiviti sabung ayam.