HomeUtamaSindiket perjudian atas talian tumpas, 39 individu ditahan

Sindiket perjudian atas talian tumpas, 39 individu ditahan

Read Time:1 Minute, 31 Second

KUDAT: Seramai 39 individu ditahan disyaki terlibat dalam sindiket perjudian atas talian dalam satu serbuan oleh sepasukan polis di tiga bilik, tingkat tujuh sebuah kompleks beli belah di Jalan Pintas, Penampang, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, bertindak atas maklumat berkenaan perjudian atas talian, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, menyerbu bangunan berkenaan yang disyaki dijadikan ‘calling center’ (pusat panggilan) pada jam 12.15 tengah hari menerusi Op Dadu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di ketiga-tiga bilik itu berpenghuni dan berjaya menahan 39 individu terdiri daripada 19 lelaki dan 20 wanita berusia 20 hingga 40 tahun disyaki bekerja sebagai mempromosi perjudian atas talian.

“Mangsa mereka dipercayai selain warga tempatan tetapi dari beberapa negara luar seperti China dan Indonesia ,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kudat antara Deputi Superintendan Robin@Ridzuan Ismail dan Superintendan Mohd Haris Ibrahim di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sabah, Senior Asisten Komisioner Azmi Abdul Rahim.

Menurut Jauteh lagi, pihaknya turut merampas peralatan perjudian atas talian yang digunakan di dalam bangunan berkenaan.

“Turut dirampas 74 monitor komputer pelbagai jenama, 38 pemprosesan komputer (CPU) dan 22 buah telefon bimbit pelbagai jenama,”katanya.

Hasil siasatan lanjut, Jauteh berkata, aktiviti perjudian itu telah beroperasi selama enam bulan di negeri ini, manakala pekerja diberi gaji RM1,500 dan dibayar melalui akaun.

“Soal siasat terhadap semua tangkapan mendedahkan mereka bekerja ditempat itu selepas terbaca iklan di Facebook yang menawarkan pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Jauteh menegaskan bahawa JSJ Sabah akan terus mengambil tindakan maksimum ke atas aktiviti judi terutama yang berkaitan judi atas talian berpremis.

RELATED ARTICLES
Utama

Tragedi kepala air: Ketiga-tiga mayat mangsa berjaya dikeluarkan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya