HomeSukanNur Aishah mahu fokus pengajian, jangka akan beraksi pada Sukan Asia Hangzhou,...

Nur Aishah mahu fokus pengajian, jangka akan beraksi pada Sukan Asia Hangzhou, China

Read Time:1 Minute, 31 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Pelari pecut wanita negara, Nur Aishah Rofina Aling dijangka tidak dapat beraksi di Kejohanan Olahraga Asia di Pattaya Thailand yang bermula pada 12 hingga 16 Julai ini.

Anak kelahiran Sabah itu mengakui kecewa kerana tidak dapat beraksi pada kejohanan itu namun perlu memberi fokus kepada pelajaran selain ingin menamatkan pengajiannya dalam bidang Sains Sukan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) tahun ini.

Pertindihan jadual kuliah dan peperiksaan menyebabkan ‘gadis turbo’ itu terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi di Pattaya.

Aisyah sebelum ini menjadi pelari keempat dalam senarai pelari kuartet 4x100m negara ketika meraih gangsa di Sukan Sea Kemboja yang lalu.

“Memang ada rasa sedikit kecewa kerana tak dapat ke Thailand tapi, saya terpaksa korbankan perkara itu sebab saya perlu habiskan pengajian tahun ini juga.

“Saya terpaksa tarik diri untuk kejohanan Asia dan Insya-Allah jika tiada aral melintang saya akan cuba beraksi di Sukan Asia Hangzhou, China nanti. Saya perlu melakukan pengorbanan ini untuk fokus kejohanan lebih besar selepas ini,” katanya kepada sebuah akhbar nasional di sini semalam.

Aisyah juga dijangka akan beraksi di Sukan Universiti Dunia di Russia pada Ogos ini.

Tanpa kelibat Aisyah, kuartet 4x100m negara di Pattaya nanti akan dibarisi Azreen Nabila Alias, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Batrisya Mohd Rizal dan Chelsea Cassiopea Evali Bopulas.

Memiliki catatan terbaik 11.90 saat (s) dalam acara 100 meter (m), Aisyah membantu kuartet 4x100m negara merangkul pingat gangsa di Sukan Sea Kemboja dengan catatan rekod baru kebangsaan 44.58s sekali gus memadam rekod lama iaitu 45.18s bersama-sama Azreen Nabila Alias, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Nur Afrina Batrisya Mohd Rizal.

Malah dia turut mencuri tumpuan peminat olahraga negara apabila berjaya mempamerkan larian bertenaga ketika membantu kuartet wanita negara meraih emas dalam acara yang sama di Terbuka Singapura pada April lalu. – SM/HM

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah FC sasar kemenangan pertama di Kelantan esok

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular