HomeUtama'SMJ' akan digunakan sebagai nombor plat khas kenderaan Kerajaan Sabah

‘SMJ’ akan digunakan sebagai nombor plat khas kenderaan Kerajaan Sabah

Read Time:2 Minute, 0 Second

Kinabatangan : Cogan kata rasmi yang terkandung dalam jata atau lambang kebesaran negeri Sabah iaitu Sabah Maju Jaya (SMJ) akan digunakan sebagai nombor plat khas kenderaan kerajaan negeri. 

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini selepas cogan kata itu turut mendapat pengiktirafan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Ketika ini SMJ bukan saja diiktiraf di negeri ini, malah turut mendapat pengiktirafan Kerajaan Persekutuan melalui JPJ yang bersetuju menjadikan ‘SMJ’ sebagai nombor plat khas kenderaan kerajaan negeri. 

“Baru-baru ini apabila saya berjumpa dengan Pengarah JPJ Sabah, mereka bersetuju supaya plat SMJ adalah dikhaskan kepada kereta Kerajaan Negeri Sabah. 

“JPJ mengkhaskan plat SMJ kepada kerajaan negeri sebagai pengiktirafan bahawa ia adalah satu hala tuju yang baik untuk Sabah,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Himpunan Gagasan Rakyat Bahagian Sukau / Lamag di Dataran Pekan Sukau, di sini, hari ini. 

Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, banyak inisiatif di bawah SMJ yang sudah berjaya dilaksanakan termasuk bantuan kewangan untuk anak-anak Sabah melanjutkan pengajian di peringkat diploma dan ijazah. 

Katanya, dalam tempoh lebih dua tahun memerintah, kerajaan pimpinannya juga berjaya melakar banyak kejayaan dalam aspek ekonomi termasuk berkaitan perjanjian dengan PETRONAS yang menyaksikan Sabah menerima perkongsian kepentingan dalam beberapa projek syarikat minyak dan gas negara, di Sabah. 

Sementara itu, Hajiji turut menegur pihak yang memperlekeh Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ dengan menjadikannya bahan sindiran terhadap Kerajaan Negeri. 

Beliau berkata, perbuatan pihak terbabit, khususnya pembangkang bukan saja tidak wajar, malah tidak menghormati ‘Sabah Maju Jaya’ sebagai cogan kata rasmi yang terkandung dalam jata atau lambang kebesaran Negeri Sabah. 

Katanya, inisiatif kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggunakan SMJ dalam pelan pembangunannya juga adalah untuk memartabat dan memperkasakan lagi cogan kata negeri Sabah yang sudah wujud sejak awal kemerdekaan negeri ini. 

“Kita pilih nama SMJ kerana ia terletak di jata Sabah sejak awal kemerdekaan kita. Saya guna itu untuk memartabat cogan kata itu dan memperkasakannya lagi. 

“Inipun SMJ jadi kritikan. Mereka yang dengki dengan kita, mereka yang dulu tiada hala tuju, kerana itu selalu mereka mempunyai fikiran negatif cakap SMJ jalan berlubang, SMJ air tiada. 

“Inilah yang dilakukan pembangkang hari ini. Ini niat tidak baik dan terlalu negatif kerana bagi kita SMJ adalah cogan kata yang mesti diperkasa dan dimartabat. Tiada orang guna ini sebelum saya tetapi saya guna ini untuk bangunkan Sabah,” katanya.  – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Angin kencang landa Semporna, 35 rumah dan 20 kenderaan terjejas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular