Beluran : Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dengan kerjasama beberapa agensi penguatkuasa lain sekali lagi melaksanakan Operasi Bersepadu ‘Road Check Point’ (RCP) Sapi Nangoh bagi siri 1/2023 yang berakhir hari ini.
Operasi selama tiga hari itu dilaksanakan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam usaha menjadikan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) kekal selamat, sejahtera dan tenteram.
Komander ESSCOM Deputi Komisioner Victor Sanjos berkata, operasi yang dilaksanakan di RCP Sapi Nangoh dan di Kilometer 70 Jalan Beluran – Kampung Pamol itu adalah bertujuan bagi membanteras penyeludupan barang kawalan, bersubsidi, tidak bercukai dan penyusupan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Selain itu katanya, operasi itu juga adalah bagi menguatkuasakan kesalahan-kesalahan lain di laluan utama menghubungkan pantai Barat dan pantai Timur Sabah termasuk laluan tikus yang dikenal pasti digunakan oleh penjenayah dalam kawasan daratan di daerah ini.
“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 282 buah pelbagai jenis kenderaan darat telah diperiksa melibatkan pemeriksaan seramai 661 orang individu.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 13 orang PATI warganegara Filipina dan Indonesia ditangkap termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dirampas kerana disyaki digunakan untuk menyeludup PATI.
“Kesemua yang ditahan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Beluran atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut.,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Victor berkata, seramai 27 orang masyarakat Bajau Laut (Pala’u) turut ditahan semasa menaiki pengangkutan awam dan diserahkan kepada JIM.
“Turut ditangkap seorang lelaki dewasa kerana didapati positif dadah jenis Methamphetamine di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 untuk siasatan lanjut oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 85 keping saman masing-masing atas pelbagai kesalahan lalu lintas di bawah POL 257 dan Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987 yang dikeluarkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) PDRM serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Sementara itu, Victor berkata, selaras dengan kejayaan operasi itu pihaknya menzahirkan penghargaan kepada semua pegawai dan anggota yang terlibat dalam menjayakan operasi berkenaan.
Katanya, kejayaan operasi itu juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan melalui Operasi Sanggah ESSCOM untuk memperkasakan operasi-operasi sedia ada di bawah PDRM, ATM dan Agensi Penguakuasaan Maritim Malaysia (APMM) di ESS Zone.
Tambahnya, ia adalah selaras dengan hasrat ESSCOM iaitu ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’ bagi memastikan keselamatan di pantai Timur Sabah kekal selamat dan terkawal.
“ESSCOM juga akan terus mempergiat operasi bersepadu seumpama ini ke daerah-daerah di ESSZone bagi mengekang mana-mana elemen yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam akibat kebanjiran PATI khususnya di pantai Timur Sabah.
“Sehubungan itu, masyarakat diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863 181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072,” katanya. – SABAH MEDIA