HomeUtamaHQE II lakar sejarah lakukan pembedahan otak secara sedar kali kedua di...

HQE II lakar sejarah lakukan pembedahan otak secara sedar kali kedua di Sabah

Read Time:2 Minute, 53 Second

Kota Kinabalu : Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) melakar sejarah apabila berjaya melakukan pembedahan otak ke atas seorang pesakit dalam keadaan sedar buat kali kedua pada 11 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Dr Asits Sanna berkata, pembedahan yang dikenali sebagai ‘Awake Craniotomy’ itu turut dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.

“Pembedahan kedua yang dijalankan di Sabah itu dilaksanakan oleh Pakar Perunding Neurosurgeri dan Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Professor Dato Dr Jafri Malin Abdullah, bersama Pakar Neurosurgeri HQE II iaitu Mr. (Dr.) Mohd Sofan Zenian dan Mr. (Dr.) Hezry Abu Hasan, beserta dengan Pakar Bius Otak dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Dr. Yeap Boon Tat.  

“Pesakit merupakan seorang lelaki berusia 40 tahun yang berasal dari daerah Sandakan. Beliau telah disahkan menghidap penyakit tumor otak di bahagian kanan otak setelah didiagnosis di Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan.

“Selepas selesai pembedahan, pesakit berada dalam keadaan sihat dan mampu mengerakkan kaki dan tangan tanpa sebarang komplikasi neurologi seawal satu hari selepas pembedahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Asits berkata, pembedahan kali pertama sebelum ini telah dijalankan pada 11 Januari lalu dengan kerjasama doktor-doktor pakar dari pihak HQE II, UMS dan Hospital Sungai Buloh. 

Katanya, pembedahan otak ‘Awake Craniotomy’ ini juga telah lama diperkenalkan sejak awal tahun 2000 yang lalu.

“Kejayaan ini adalah hasil daripada persiapan dan perbincangan rapi pihak HQE II bersama dengan HDOK Sandakan, HUSM dan UMS yang telah bermula sejak April 2023 lagi.

“Oleh sebab pembedahan kali ini agak rumit, pihak HQE II telah menjemput Professor Dato Dr Jafri Malin dari HUSM, untuk bersama-sama menjayakannya.

“Jabatan ini juga telah mengambil inisiatif dengan memaparkan pembedahan secara ‘live streaming’ kepada hospital di daerah Sandakan, Tawau dan Lahad Datu sebagai satu bentuk wadah pembelajaran dan pendidikan dengan doktor-doktor yang lain setelah mendapat kebenaran dari pesakit,” katanya.

Pembedahan ‘Awake craniotomy’ adalah teknik pembedahan dan pembiusan yang penting untuk memastikan pesakit tidak mengalami kehilangan fungsi otak semasa proses pembedahan ketumbuhan otak dilakukan.

Fungsi otak seperti kebolehan menggerakkan kaki dan tangan dan kebolehan bertutur, dapat dipelihara dengan melakukan pembedahan di mana pesakit berada dalam keadaan sedar dan fungsi otak pesakit itu akan diuji sewaktu pembedahan dilakukan.

Dr Asits berkata, jika didapati fungsi otak pesakit berkurangan atau hilang sewaktu proses pembuangan ketumbuhan otak itu dijalankan, bahagian otak itu akan dielakkan daripada dicederakan semasa pembedahan berkenaan.

Katanya, selain daripada itu, pemantauan keadaan fungsi otak pesakit ditingkatkan lagi dengan menggunakan beberapa alatan perubatan Intraoperative Neurophysiological Monitoring (IONM) yang berteknologi tinggi seperti Motor Evoked Potential (MEP), Somatosensory Evoked Potential (SSEP) dan Electromyography (EMG) yang telah terdapat di Sabah.

Tambahnya, penggunaan teknologi Image Guided Surgery’ (IGS) untuk mengenalpasti kedudukan barah di dalam otak secara tepat, dan juga mengenalpasti kedudukan bahagian-bahagian otak yang penting dan perlu dielakkan daripada tercedera sewaktu pembedahan turut menjayakan lagi pembedahan ini.

“Pembiusan untuk awake craniotomy ini telah menggunakan ubat bius yang diberikan melalui mesin khas dipanggil Target controlled infusion (TCI) melalui kaedah Asleep-AwakeAsleep.

“Pesakit yang menerima ubat bius dalam keadaan sedar ini boleh berkomunikasi dan berinteraksi dengan doktor sepanjang tempoh pembedahan dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Asits berkata, pihaknya merakamkan pengharhaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pembedahan ini.

“Semoga kejayaan cemerlang dan jalinan kerjasama dari pelbagai pihak seperti ini dapat diteruskan dan diperkembangkan lagi pada masa akan datang demi meningkatkan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik kepada rakyat di negeri Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

51 rumah setinggan dirobohkan, 6 PTI ditangkap

Buaya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular