HomeSukanTerus kekalkan prestasi secara konsisten - Kim Swee

Terus kekalkan prestasi secara konsisten – Kim Swee

Read Time:1 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC Datuk Ong Kim Swee mahu anak buahnya terus mengekalkan prestasi secara konsisten selepas berjaya menundukkan Sri Pahang FC 4-0 dalam aksi saingan Liga Super di Stadium Likas malam tadi.

Katanya, para pemain juga dilihat berjaya mempamerkan aksi permainan yang lebih baik sepanjang perlawanan malam tadi seterusnya mengatasi prestasi Pahang sebelum ini.

“Yang penting hari ini (semalam) bukan saja kita mendapat tiga mata yang berharga tetapi kita tidak dibolosi. Itu adalah matlamat utama kita.

“Kita tahu pasukan Pahang sebelum ini menunjukkan satu prestasi yang cukup baik, namun hari ini kita bermain lebih baik daripada apa yang kita tunjukkan sebelum ini. Jadi, ini satu pencapaian di mana kita harus kekalkan prestasi ini secara konsisten.

Datuk Ong Kim Swee

“Ini bukan bermakna kita berada dalam kedudukan yang baik tetapi kita harus kekalkan konsistensi kita,” katanya  dalam sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Empat gol Sabah malam tadi, masing-masing dua dijaringkan pada separuh masa pertama dan kedua dengan dua gol disumbangkan Darren Lok pada minit kelapan dan ke-64.

Dua gol lagi masing-masing dijaringkan oleh penyerang import baharu dari Brazil, Ramon Machado de Macedo pada minit ke-42 dan Stuart John Wilkin pada minit ke-68.

Ketika ditanya mengenai penampilan Ramon Machado yang baru dua kali bermain bersama Sabah malam tadi, Kim Swee mengakui pemain berumur 32 tahun itu mempamerkan permainan yang baik walaupun baru saja menyertai skuad Sang Badak.

Namun, Kim Swee tetap memuji semua anak buahnya kerana dapat melaksanakan tugas masing-masing dengan baik bagi mengekang kemaraan pasukan Pahang.

“Tidak dinafikan (bermain dengan baik) namun kita perlu memikirkan bukan saja kepada Ramon tetapi saya percaya semua pemain melakukan atau menjalankan tugas dengan cukup baik di mana tidak membenarkam pasukan Pahang mengawal permainan.

“Jadi itu satu prestasi yang amat positif ditunjukkan oleh semua pemain Sabah FC,” katanya.

Sabah FC kini mengutip 33 mata dan kekal ditangga kelima Liga Super selain akan bertemu Selangor FC pada 23 Julai depan bertempat di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah luluskan peruntukan RM12.24 juta naik taraf kemudahan Stadium Likas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular