HomeUtamaUmat Islam perlu kukuhkan perpaduan, saling bermuafakat

Umat Islam perlu kukuhkan perpaduan, saling bermuafakat

Read Time:2 Minute, 49 Second

Kota Kinabalu : Umat Islam perlu sentiasa bersatu padu, berganding bahu dan saling bermuafakat atas apa juga isu dan permasalahan yang dihadapi dalam dunia yang penuh mencabar pada hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata,  sambutan Maal Hijrah seperti ini bukan semata-mata menyambut kedatangan tahun baharu tetapi lebih kepada penghayatan sebuah perjuangan demi menegakkan keadilan dan kebenaran, memperhebatkan syiar Islam dan membina ukhuwah dalam kalangan umatnya.

“Dunia pada hari ini bukan lagi seperti di zaman Rasulullah SAW, malah jika dibandingkan keadaan sekarang dengan tempoh tiga atau empat dekad yang lalu, keadaan amat berbeza. Kemajuan ilmu pengetahuan, lebih-lebih lagi dalam era ledakan teknologi maklumat yang serba canggih dan semakin hebat di zaman modern ini, menjadikan suasana kehidupan sudah jauh berubah.

“Kita pada hari ini berhadapan dengan pelbagai cabaran, baik dalam politik, ekonomi, masalah sosial hingga berkaitan kesihatan, alam sekitar, bekalan makanan termasuklah cabaran besar yang dihadapi oleh seluruh umat Islam iaitu Islamofobia.

“Berhadapan dengan segala cabaran itu, kita sebagai umat Islam perlu bersatu-padu, berganding bahu dan saling bermuafakat atas apa jua isu dan permasalahan yang dihadapi.Kerjasama dan permuafakatan itu akan melahirkan perpaduan dan kekuatan.Jika kita kuat kita mudah menang dan mencapai kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Maal Hijrah 1445H Peringkat Negeri Sabah bertempat di Dewan Sa’adah Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), di sini hari ini

Majlis disempurnakan Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan turut dihadiri isterinya, Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam.

Hajiji berkata, dunia Barat tidak akan berhenti merekacipta pelbagai tohmahan untuk memburukkan imej Islam, termasuk mengadu-domba negara-negara yang didominasi oleh umat Islam.

“Tindakan membakar Kitab Suci al-Quran atas nama kebebasan bersuara adalah kemegahan peradaban dunia Barat yang sangat kita kutuk. Pun begitu, sebagai umat yang cintakan keamanan dan kedamaian, kita tidak akanbertindak balas dengan memusnahkan kitab suci penganut agama lain.

“Sebaliknya, kita di Malaysia, bertekad mencetak sejuta kitab suci al-Quran bagi menggantikan senaskhah al-Quran yang telah dibakar itu. Justeru, saya ingin mengesyorkan supaya MUIS berganding bahu dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) seperti USIA, misalnya, mengadakan inisiatif dakwah dengan menyokong usaha Kerajaan Malaysia Madani, pimpinan Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim, dalam usaha ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri bersama Kerajaan Pusat tetap komited dalam memastikan pembangunan syiar Islam di negara ini terus diperhebat, terutama dalam membentuk masyarakat madani yang mengutamakan nilai ukhuwah dan insani yang juga adalah tuntutan agama.

“Saya juga berkeyakinan toleransi kaum dapat terus dipupuk dan dipertingkatkan, agar kita terus hidup dalam aman damai, tenteram dan harmoni.Formula kejayaan kita selama ini adalah didorong oleh pembangunan akhlak insani iaitu saling hormat menghormati dan percaya mempercayai dalam menjalin semangat kerjasama walau dalam kepelbagaian kaum, etnik dan budaya bangsa.

“Inilah satu keunikan dan keistimewaan yang wujud di negeri Sabah yang harus kita banggakan dan pertahankan. Justeru, saya menyeru, dengan semangat hijrah yang dipelopori oleh Baginda Rasulullah SAW agar kita bergerak bersama-sama dalam mempertahankan dan memperkukuhkan keharmonian, perpaduan dan persefahaman yang telah dirintis oleh generasi nenek moyang kita,” katanya.

Hajiji turut mengajak semua umat Islam di negeri ini agar merenung sejenak kisah silam perjuangan suci Baginda Rasulullah SAW,ketabahannya menghadapi segala ujian dan cabaran dalam mengharungi penghijrahan hingga berjaya mendirikan sebuah negara dan kerajaan.- SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah salur RM23 juta bantu sekolah bukan Kerajaan, persendirian Cina

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya