HomeEkonomiGerakan koperasi berjaya capai sumbangan perolehan mencecah RM45.5 bilion

Gerakan koperasi berjaya capai sumbangan perolehan mencecah RM45.5 bilion

Read Time:1 Minute, 30 Second

Kota Kinabalu : Gerakan koperasi yang sudah wujud melebihi 100 tahun di negara ini telah berjaya mencapai sumbangan perolehan koperasi mencecah RM45.5 bilion.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, jumlah itu menjadikan ianya penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi negara selepas sekor Kerajaan dan swasta.

Katanya, gerakan koperasi pada masa kini telah mengorak langkah menceburi enam sektor ekonomi utama negara seperti sektor perkhidmatan kewangan, pemborongan peruncitan, perladangan, pelancongan, pembangunan hartanah dan industri pembinaan serta penjagaan diri dan kesihatan.

“Gerakan koperasi di Sabah umpamanya, mempunyai potensi yang besar mampu menoktahkan kemiskinan tegar dalam mencapai matlamat Sabah Maju Jaya pada tahun 2025.

“Suka saya memaklumkan bahawa terdapat sebanyak 1,707 buah koperasi yang berdaftar di Sabah. Ini menjadikan Sabah negeri kedua tertinggi yang mempunyai bilangan koperasi selepas Selangor.

“Dengan keanggotaan sekitar 350,000 orang, gerakan koperasi di Sabah berjaya merekodkan perolehan lebih kurang sebanyak RM570 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi sempena Bulan Koperasi Kebangsaan 2023 di sini semalam.

Majlis disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Ewon berkata, antara kejayaan yang telah berjaya dilakar dalam tempoh 100 tahun gerakan koperasi di negara ini adalah penubuhan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM).

Katanya, UKKM merupakan universiti koperasi pertama di negara ini yang akan menerajui negara melahirkan pelapispelapis profesional modal insan koperasi.

“Ini bagi memastikan sektor koperasi terus berdaya saing, dipimpin dan dianggotai oleh mereka yang kompeten, dinamik dan progresif. 

“Buat masa ini, UKKM menawarkan program daripada peringkat diploma, ijazah sarjana muda sehingga sarjana dalam bidang pentadbiran dan keusahawanan dan saya telah menyampaikan tawaran kepada 20 pelajar siri pertama MBA Pengurusan Koperasi pada 23 Mei 2023 yang lalu. Pengambilan pelajar seterusnya akan dibuat pada bulan September 2023 bagi program diploma dan ijazah,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Generasi muda perlu rebut peluang dalam industri pertanian – Amisah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya