HomeIsu tempatanTokan dadah tumpas, syabu lebih 1kg dirampas

Tokan dadah tumpas, syabu lebih 1kg dirampas

Read Time:2 Minute, 11 Second

TAWAU: Polis berjaya menahan tiga orang suspek termasuk seorang wanita dipercayai tokan bersama dadah jenis syabu seberat anggaran lebih 1 kilogram dalam satu serbuan di kawasan bandar Tawau, 6 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan melibatkan dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 31 hingga 43 Tahun itu dilakukan sepasukan anggota pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada jam 3.30 petang.

Katanya, bertindak atas risikan maklumat dadah, sepasukan Polis telah membuat serbuan dan tangkapan di sebuah lorong di kawasan Bandar Tawau.

“Pihak Polis telah menahan ketiga-tiga suspek berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan lorong berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, pihak polis telah menjumpai satu bungkusan plastik yang dipegang oleh salah seorang daripada mereka. Pemeriksaan lanjut di dalam plastik berkenaan mendapati sebuah bungkusan teh cina di dalamnya mengandungi satu bungkusan plastik lutsinar berisi bahan yang disyaki dadah jenis syabu seberat 1008.63 gram yang boleh menampung seramai dua ribu orang penagih,” katanya dalam Sidang Media di IPD Tawau, semalam.

Pemeriksaan dokumentasi juga mendapati dua suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata suspek bersama barang rampasan dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, ujian saringan air kencing ke atas ketiga-tiga suspek berkenaan mendapati kesemua negatif dadah dan tiada sebarang rekod jenayah lampau direkodkan.

Polis juga turut merampas sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza dan wang tunai sejumlah RM2,406 bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 25(1) Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 kerana dipercayai hasil daripada pengedaran dadah.

Pada masa yang sama, Polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan berumur awal 20an di sebuah kawasan perumahan di sekitar Bandar Tawau.

Katanya suspek dalam keadaan mencurigakan berada di kawasan berkenaan, ketika pihak Polis memperkenalkan diri, suspek bertindak cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap setelah berlaku pergelutan.

“Hasil pemeriksaan lanjut, Polis merampas satu bungkusan plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat anggaran 50.24 gram bernilai RM5,000 yang diserahkan oleh suspek kepada Polis,” katanya.

Suspek dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tawau untuk tindakan lanjut. Ujian awal saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Polis Tawau sedang giat dalam usaha mematahkan rangkaian pengedaran dadah khususnya di Daerah Tawau dan mengalu-alukan kerjasama serta maklumat daripada orang awam dalam bersama membanteras najis dadah.

Jasmin turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada masyarakat khususnya di Daerah Tawau kerana bersama dalam menyalurkan maklumat jenayah dan dadah.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

PKK Biz @ Akademia catat lebih RM20,000 nilai jualan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular