HomeUtamaWanita GRS diminta kuatkan perpaduan dan bersatu hati

Wanita GRS diminta kuatkan perpaduan dan bersatu hati

Read Time:2 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mahu wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar terus meningkatkan perpaduan sedia ada untuk menjadi satu pasukan yang kuat dalam perjuangan parti, bersama membangun negeri dan seterusnya berkhidmat kepada rakyat.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata walaupun kerajaan negeri hari ini masih ada lebih dua tahun memerintah, namun jentera parti khususnya wanita GRS tidak boleh leka, sebaliknya terus bekerja untuk rakyat.

“Kita kena terus bekerja, perkukuhkan perpaduan, bersatu hati dalam komponen GRS dan elakkan perselisihan faham serta perpecahan dalam kalangan kita.

“Sebab itu, peranan dan tanggungjawab wanita GRS amat penting dan cukup besar sekarang. Jentera parti GRS amat memerlukan wanita untuk menyampaikan mesej dan perjuangan GRS kepada rakyat di peringkat akar umbi di negeri ini.

“Saya amat yakin di bawah pimpinan Ketua Wanita GRS (Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun), beliau akan membawa wanita GRS sekarang sebagai satu pasukan yang kuat. Saya juga yakin kita mampu perkukuhkan dan kuatkan lagi perpaduan yang sedia wujud ini sekali gus beroleh kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” katanya ketika merasmikan Pelancaran Jelajah Wanita GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Ahad.

Hajiji turut melahirkan rasa gembira kerana tujuh parti tempatan dalam GRS terus bersama-sama untuk memastikan perjuangan rakyat dan negeri ini dapat diteruskan.

Katanya, pelbagai cabaran dan ujian ditempuhi kerajaan negeri sejak mengambil alih pentadbiran lebih dua tahun lalu.

“Ini termasuklah Langkah Kinabalu, apabila ada pihak yang cuba menggulingkan kerajaan negeri ketika itu. Bagaimanapun, saya bersyukur atas kesatuan dan perpaduan kita serta sokongan daripada PH, kita dapat mempertahankan kerajaan negeri.

“Mandat ini perlu kita pertahankan dan di sinilah juga peranan wanita GRS amat penting untuk kita mencipta kejayaan dalam PRN akan datang.

“Justeru, program jelajah ini amat penting dan saya dimaklumkan oleh Ketua Wanita GRS bahawa mereka melawat ke semua zon di Sabah untuk menjelaskan dasar serta perjuangan GRS,” katanya sambil menambah apa yang penting teruskan perjuangan dan memenuhi aspirasi rakyat Sabah.

Beliau berkata, kerajaan GRS telah membawa banyak kejayaan selama lebih dua tahun memerintah negeri ini, dan akan membawa lebih banyak lagi pembangunan ke negeri ini.

“Banyak yang kita sudah buat, malah banyak negara mempunyai keyakinan dalam kepimpinan GRS apabila duta dan pesuruhjaya mereka yang datang jumpa saya menyatakan Sabah ada potensi untuk menjadi negeri yang maju. Mereka mahu melabur ke negeri ini.

“Bagaimanapun, pembangkang menyatakan macam-macam cerita terutama Warisan yang masih kabur-kabur dan tidak nampak apa yang telah kita buat dalam masa lebih dua tahun,” katanya.

Justeru katanya, untuk meneruskan usaha yang dibuat kerajaan ini, semua komponen parti dalam GRS perlu bersatu hati.

“Kita perlu kuatkan perpaduan dalam GRS, wanita kena bantu kami dan begitu juga golongan muda. Ini untuk memastikan perjuangan kita dalam GRS dapat mencapai kejayaan pada masa akan datang.

“Jangan kita buat silap lagi hingga berpecah belah, Sabah negeri dan rumah kita. Kepentingan rakyat sentiasa didahulukan dan inilah perjuangan GRS,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular