HomeIsu tempatanLRA bersepadu (Solar-IoT) Fasa 1 siap dibina

LRA bersepadu (Solar-IoT) Fasa 1 siap dibina

Read Time:1 Minute, 32 Second

Pitas :   Pembinaan Mikro Loji Rawatan Air (LRA) Bersepadu (Solar-IoT) Kampung Lok Dangkaan di sini bagi Fasa Pertama yang dilaksanakan sejak Mac lalu berjaya disiapkan semalam. 

Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS), Datuk Dr. Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar berkata, fasa pertama itu melibatkan dua unit struktur mikro loji.

Katanya, ia melibatkan dua unit kolam dan pondok konkrit yang bakal menempatkan unit rawatan air serta komponen panel suria. 

“Mikro Loji Rawatan Air Kg Lok Dangkaan telah siap sepenuhnya bagi kerja-kerja fasa pertama yang melibatkan pembinaan kolam takungan air. Sepanjang Fasa 1, penilaian teknikal bagi tujuan pembinaan sebuah loji mikro rawatan air secara bersepadu telah dijalankan. 

“Penilaian ini merangkumi penilaian geologi dan sekitaran, penilaian hidrologi dan sumber air, penilaian kualiti dan cara rawatan air, dan penilaian kejuruteraan dan cadangan struktur mikro loji. 

“Dua unit struktur bagi mikro loji juga telah berjaya disiapkan iaitu dua kolam sebagai sumber utama air dan sebuah pondok konkrit yang akan menempatkan unit rawatan air dan komponen bekalan tenaga elektrik menggunakan suria,” katanya.

Mengulas mengenai baki tiga fasa lagi, Omar Raisul memaklumkan projek tersebut dijadualkan siap dan mula beroperasi menjelang Oktober tahun depan.

“Projek ini bakal menghasilkan pengeluaran 30,000 liter air sehari dan akan memberi manfaat kepada penduduk sekitar,” jelas beliau.

Menurutnya, projek bernilai RM289,714 itu merupakan kerjasama pihaknya dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui saluran dana Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasai Strategik Nasional (LAKSANA) dan Yayasan Nur Jauhar (YNJ).

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Pembinaan Mikro Loji Rawatan Air Bersepadu (Solar-IoT) Kg Lok Dangkaan, Pitas di Kg. Lok Dangkaan Pitas.

Acara tersebut bersempena dengan Kembara Rahmah 2023 yang disertai rombongan Agensi LAKSANA, Fakulti Sains dan Sumber Alam, UMS dan Pejabat Daerah Pitas.

Pada majlis berkenan, Omar Raisul turut menyampaikan bantuan kewangan kepada 54 Ketua Isi Keluarga (KIR) di kampung terbabit.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

PKK Biz @ Akademia catat lebih RM20,000 nilai jualan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular