Perpaduan antara masyarakat berbilang kaum elemen penting perkukuh hubungan harmoni

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 12 Second

Tuaran : Perpaduan antara masyarakat berbilang etnik, budaya dan latar belakang khususnya di daerah ini menjadi elemen penting dalam mengukuhkan lagi hubungan harmoni antara sesama muslim.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, meskipun berbeza agama namun umat Islam perlu menghadapi perbezaan dengan bijaksana, saling menghormati dan menghargai pandangan serta kepercayaan masing-masing.

“Sebagai umat Islam, kita adalah satu ummah yang bersaudara, dan kebersamaan serta perpaduan adalah asas kepada kekuatan dan kejayaan umat ini.

“Sebagai masyarakat Islam yang mencintai keamanan dan keharmonian, marilah kita melupakan perpecahan dan perbalahan yang tidak membawa manfaat kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kenduri Aqiqah dan Bubur Asyura di Surau Anjung Sri Wangi Kampung Roun di sini hari ini.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, umat Islam juga diseru untuk terus meningkatkan lagi kerjasama dan gotong-royong dalam menangani isu-isu yang dihadapi bersama, seperti kemiskinan, pendidikan, dan pembangunan ummah.

Katanya, masyarakat juga harus menghayati semangat ukhuwah Islamiyah, yakni persaudaraan sejati dalam Islam.

“Mari berusaha untuk saling menyokong, menguatkan, dan membantu satu sama lain dalam kesusahan dan kesenangan.

“Hidup ini adalah perjalanan bersama, dan perpaduan masyarakat Islam adalah kunci kejayaan kita,” katanya.

Dalam pada itu, Jahid berharap majlis seumpama itu menjadi platform untuk mempereratkan lagi tali silaturahim antara semua pihak.

“Marilah kita tingkatkan semangat persaudaraan, perpaduan, dan kasih sayang antara sesama Muslim. Berpegang teguhlah kepada nilai-nilai Islam yang membawa kepada perdamaian dan keberkatan,” katanya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *