HomeEkonomiNilai Perdagangan di Sabah Terus Meningkat

Nilai Perdagangan di Sabah Terus Meningkat

Read Time:3 Minute, 54 Second

Oleh – Wan Azrain Adnan

1. Menurut laporan Statistik Perdagangan Luar Negeri Sabah oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Sabah telah mencatatkan jumlah perdagangan sebanyak RM 118.1 billion pada tahun 2022.

Jumlah perdagangan berkenaan merangkumi eksport (RM 77.2 billion) dan import (RM 40.9 billion), seterusnya menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM 36.2 billion.

2. Data DOSM tersebut menunjukkan pertumbuhan perdagangan Sabah yang amat memberangsangkan. Secara keseluruhan, jumlah perdagangan Sabah 2022 telah meningkat sebanyak 35.4% (RM 30.9 billion) berbanding tahun 2021 (RM 87.2 billion). Ini merupakan pertumbuhan perdagangan tertinggi Sabah. Pertumbuhan besar berkenaan jauh melebihi pertumbuhan 9.8% pada tahun 2021, berbanding tahun 2020.

3. Pada tahun 2022, jumlah eksport Sabah telah meningkat sebanyak 38.6% berbanding tahun 2021 (RM 55.7 billion). Peningkatan eksport ini di terajui oleh pertumbuhan besar tiga eksport utama Sabah, iaitu: petroleum mentah telah meningkat sebanyak 59.1%, minyak kelapa sawit meningkat sebanyak 22.1%, dan gas asli cecair meningkat sebanyak 144.1%.

4. Tiga eksport utama tersebut menyumbang sejumlah RM 56.6 billion (73%) kepada jumlah eksport Sabah 2022: petroleum mentah (RM 30.3 billion, 39.9%), minyak kelapa sawit (RM 21.1 billion, 27.4%) dan gas asli cecair (RM 5.2 billion, 6.7%).

5. Industri oil & gas dan kelapa sawit terus menjadi penyumbang besar kepada perdagangan dan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah. Malah kedua-dua industri berkenaan turut menjadi penyumbang besar kepada hasil pendapatan Kerajaan Sabah.

6. Di dalam Belanjawan Sabah 2023, Cukai Jualan Negeri Sabah, yang meliputi cukai minyak sawit mentah (CPO) dan produk petroleum, di anggarkan berjumlah RM 2.270 billion. Jumlah ini merupakan 43% dari anggaran keseluruhan pendapatan Kerajaan Sabah untuk tahun 2023 (RM 5.268 billion).

Di samping itu, royalti petroleum untuk tahun 2023 di anggarkan sebanyak RM 1.35 billion, iaitu 26% daripada anggaran keseluruhan pendapatan Kerajaan Sabah.

7. Jelas, industri oil & gas adalah amat penting kepada ekonomi dan rakyat Sabah. Maka tindakan Kerajaan Sabah untuk meningkatkan penglibatan dan kawal-selia industri oil & gas adalah tepat. Tindakan ini dapat memastikan industri oil & gas Sabah kekal mampan dan memberi pulangan sewajarnya kepada rakyat Sabah.

8. Ini termasuklah: meluluskan Rang Undang-Undang Bekalan Gas 2023 dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023, melancarkan Pelan Induk Gas Sabah, memindah-milik aset huluan gas Petronas kepada Sabah Energy Corporation (SEC), dan mengambil pegangan ekuiti di dalam syarikat PETRONAS yang beroperasi di Sabah.

9. Manakala, pada tahun 2022, import Sabah pula berjumlah RM 40.9 billion, meningkatkan sebanyak 29.6% dari tahun 2021 (RM 31.6 billion). Tiga import utama adalah: jentera dan kelengkapan pengangkutan (RM 12.4 billion, 30.3%) makanan (RM 6.4 billion, 15.7%) dan produk keluaran kilang (RM 5.3 billion, 13%).

Jumlah tiga import tersebut (RM 24.1 billion) menyumbang sebanyak 58.9% kepada keseluruhan import Sabah 2022.

Data juga menunjukkan import makanan telah meningkat sebanyak 19.6% dari tahun 2021.

10. Di dalam laporan Statistik Perdagangan Luar Negeri Sabah 2021, beras merupakan import ke-tiga terbesar Sabah, berjumlah RM 493 juta. Ini tidaklah mengejutkan kerana Sabah mengimport hampir 80% beras untuk memenuhi keperluan tempatan. Menurut Ketua Menteri Sabah, ketika ini, kadar Tahap Sara Diri/ Self-Sufficient Level (SSL) beras Sabah hanyalah 22%.

Ini bermakna industri padi di Sabah hanya dapat memenuhi 22% permintaan tempatan.

11. Justeru itu, Ketua Menteri Sabah telah mengumumkan bahawa Lembaga Padi Sabah bakal di wujudkan semula untuk menerajui pembangunan industri padi di Sabah. Penubuhan tersebut di jangka dapat meningkatkan kadar SSL beras Sabah kepada 60% menjelang tahun 2030.

Ini selaras dengan pembangunan industri padi Sabah di bawah Rancangan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Dasar Pertanian Negeri Sabah Ke-3.
12. Penubuhan Lembaga Padi Sabah tepat masanya dan wajar di segerakan untuk melonjakkan pembangunan industri padi secara mampan di Sabah. Ini akan dapat membantu agenda keselamatan makanan/ food security Sabah, dan seterusnya mengurangkan kebergantungan tinggi kepada beras import.

13. Tambahan lagi, Lembaga Padi Sabah mesti menerajui penggunaan teknologi terkini untuk memberikan hasil padi yang tinggi. Ini dapat memberi pendapatan yang lumayan kepada para petani, seterusnya menarik petani keluar dari kelompok kemiskinan. Ini juga dapat menarik minat generasi muda untuk bekerjaya sebagai usahawan tani moden.

14. Pada pembentangan Belanjawan Sabah 2023, ekonomi Sabah di unjurkan meningkat sebanyak 5.0% pada tahun 2023. Ini sudah pasti akan terus mendorong pertumbuhan pesat perdagangan Sabah. Data DOSM membuktikan bahawa agenda Sabah Maju Jaya telah membuahkan hasil dan berada di trajektori pertumbuhan yang utuh.

15. Sabah menikmati lebihan dagangan 2022 yang besar (RM 36.2 billion), anggaran lebihan belanjawan/ budget surplus untuk tahun 2023 (RM 130.47 juta), serta unjuran pertumbuhan ekonomi yang positif (5%).

16. If managed well, the sky is the limit for Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

UMS utamakan kebajikan pelajar, sedia bantu Crisnanalina daftar pengajian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular