HomeUtamaDUN Sabah : Kawasan tanah NCR disyor diserahkan kembali kepada komuniti

DUN Sabah : Kawasan tanah NCR disyor diserahkan kembali kepada komuniti

Read Time:1 Minute, 24 Second

Kota Kinabalu : Kawasan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang dituntut oleh komuniti yang masih terletak dalam kawasan hutan simpan atau Taman-Taman Sabah (TTS) agar dikeluarkan dan diserahkan kembali kepada komuniti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, ia adalah bagi membolehkan komuniti dapat menjaga kawasan terlibat dengan sokongan Kerajaan khususnya Jabatan Perhutanan.

“Misalnya perkampungan Kampung Melangkap Kota Belud yang termasuk dalam hutan simpan Wario yang diwartakan pada tahun 2016 dan perkampungan Kampung Kibunut Penampang yang juga termasuk dalam Hutan Simpan.

“Saya mencadangkan supaya ianya diserahkan kepada penduduk dan boleh diwujudkan kategori baru seperti yang dinyatakan oleh Ketua Menteri sebelum ini. Saya konsisten dalam cadangan ini supaya kawasan NCR yang dituntut oleh rakyat diserahkan kepada penduduk dan diwujudkan Jawatankuasa Pemegang Amanah untuk memelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan Tahun 2023 di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ewon berkata, beliau menyokong penukaran nama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang sebelum ini dinamakan sebagai Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) .

“Namun saya mencadangkan dalam dewan ini untuk meminda satu ordinan lama iaitu ‘Rural Administration’ atau Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Sabah supaya institusi JPKK itu dimasukkan dalam ordinan ini.

“Dan ianya diterima sebagai satu ordinan yang baharu yang dipinda supaya tidak lagi ada pengwujudan dua JPKK. Adalah lebih baik dewan meminda ordinan yang telah diwujudkan sebelum ini dan sebarang pelantikan tadbir urus mengenai JPKK di kampung harus menjadi hak mutlak kerajaan Sabah,” katanya.

Sementara itu, mengenai pembinaan arena luar bandar, beliau meminta dan mencadangkan agar sebuah arena belia luar bandar di Kadamaian dapat dilaksanakan dan dibangunkan di kawasan berkenaan pada tahun depan. – SABAH MEDIA.

RELATED ARTICLES
Utama

Pelbagai inisiatif pembangunan dilaksanakan melalui Hala Tuju SMJ

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular